Friday, September 6, 2013

Adek =) Bab 1: Nisa

gambar sekadar hiasan =)

"Abang, Adek rasa, Adek nak beli beg sekolah baru la..." Nisa cuba memujuk abangnya, Naqib yang sedang membelek-belek buku rujukan PMR untuk adiknya.

"Aik? Bukan yang dulu punya masih boleh pakai? Nanti ayah mesti membebel Adek nak beli yang baru. Naqib benar-benar masak dengan fiil ayahnya itu. Masih segar diingatannya, ketika Nisa pernah dimarahi ayahnya gara-gara adiknya itu meminta wang lebih untuk membeli pen baru di koperasi sekolah. Dia berpendapat, jika pen yang murah itupun ayahnya sudah naik minyak, apatah lagi beg sekolah yang mahal.

"Ala... abang janganlah bagitahu ayah. Adek dah bosan dengan beg sekolah yang tak tukar-tukar sejak Adek darjah 4. Nanti kawan-kawan Adek selalu mengejek kata Adek ni tak matang. Guna beg sekolah gambar patung Barbie." Nisa mula membuat reaksi muka memujuk kepada abangnya. Dalam hatinya tersimpan harapan yang mendalam agar abangnya itu menyetujui kehendaknya untuk membeli beg sekolah yang baru.

Naqib mula berasa serba salah. Betul juga apa yang dikatakan Nisa itu. Adiknya itu tidak pernah menukar beg sekolah sejak dari darjah 4. Sekarang ini, Nisa sudah meningkat remaja. Umurnya boleh dikatakan cukup 14 tahun bulan Ogos nanti. Kemudian, pada tahun hadapan dia akan menduduki peperiksaan PMR pula. Memang difikirkan, agak memalukan untuk memakai beg sekolah yang digunakan sejak sekolah rendah lagi. Lagi-lagi ada gambar patung Barbie pula. Memang tidak sesuailah dengan gayanya.

"Hmmm... ok! Adek cepat-cepat pilih beg yang Adek suka. Lepastu kita balik rumah. Abang dah lapar ni. Mak mesti sudah risau kita keluar pekan lama-lama macam ni." Akhirnya Naqib bersetuju juga. Apa yang bakal terjadi nanti, dia akan bertanggungjawab. Sudah tugas sebagai seorang abang membela adiknya. Tambahan pula, adiknya itu tidak membuat salah apa-apa. Dia hanya tidak mahu Nisa selalu diejek teman-teman sekolahnya.

"Yeay! Terima kasih abang. Abanglah yang abang yang paling terbaik di dunia!" Nisa terus berubah wajah menjadi ceria lalu segera ke bahagian beg sekolah. Begitulah reaksi kedua-dua adik beradik itu. Naqib selalu beralah kepada adiknya. Baginya, Nisalah satu-satunnya adik yang dia ada. Nisalah penyeri keluarga. Rumah mereka tidak ceria jika Nisa tidak ada di dalamnya.

Khairun Nisa Syukri. Nama yang sangat baik untuk seorang perempuan. Khairun bermaksud sebaik-baik dalam bahasa Arab manakala Nisa pula bermaksud wanita. Jadi apabila digabungkan membawa erti sebaik-baik wanita. Adapun Rasulullah SAW, manusia termulia dan terbaik sepanjang masa telah mengakui dan sangat memuliakan wanita. Hal ini dapat dibuktikan melalui hadis baginda SAW:

Dari Abdullah bin ‘Amr RA bahwa Rasulullah SAW bersabda:
“Dunia ini adalah perhiasan atau kesenangan dan sebaik-baik perhiasan atau kesenangan dunia ialah wanita yang solehah.” (HR. Muslim,Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)

Wanita solehah di sini merupakan ciri sebaik-baik wanita. Justeru, nama Khairun Nisa itu sangatlah baik dan Naqib berpendapat bahawa ibu dan ayahnya telah memberi nama untuk adiknya itu dengan cemerlang sekali. Naqib hanya memerhati geligat adiknya itu dari jauh. Tersenyum dia sendiri apabila melihat aksi Nisa yang menjengket-jengket cuba untuk mengambil beg sekolah yang tergantung agak tinggi daripadanya. Baru dia perasan, bahawa adiknya itu tidak banyak sangat meningkat ketinggiannya walaupun sudah berumur hampir 14 tahun. Sepatutnya, untuk perempuan, di kala mencecah umur 11 hingga 14 tahun pertumbuhan mereka sangat ligat. Tetapi berbeza pula dengan Nisa. Adiknya itu boleh dikatakan masih berada di takuk lama. Kalau naik pun, mungkin hanya beberapa cm sahaja.

Tetapi apabila dilihat dari keseluruhannya, badan Nisa memang semakin berisi berbanding sejak dia tamat sekolah rendah dua tahun yang lepas. Mungkin sebab itulah Nisa kelihatan sama sahaja ketinggiannya walhal badan dia masih lagi dalam proses membesar. Kemudian lamunan Naqib terganggu apabila Nisa melambai-lambai tangannya di hadapan wajahnya.

"Hai, abang. Adek panggil banyak kali abang tak sahut pun. Lama benar lamunannya. Ke London kah?" Sinis Nisa kepada abangnya yang masih kelihatan terpinga-pinga.

"Eh, tak adalah. Abang baru perasan Adek sebenarnya dah semakin besar. Tak macam dulu, boleh abang cubit-cubit pipi ni." Naqib cuba mengacu jarinya untuk mencubit pipi Nisa tetapi berjaya dielak oleh Nisa lalu Nisa memuncungkan mulutnya.

"Ish, abang ni saja ja tau. Adek dah masuk sekolah menengah la. Taun depan dah nak amik PMR dah pun. Takkan la nak main cubit-cubit lagi. Malulah, abang." Nisa cuba mempertahankan dirinya. Seraya itu kedua-dua mereka pun ketawa kerana malu dengan tingkah laku mereka yang tidak sesuai lagi untuk ditonjolkan di khalayak ramai, apatah lagi di khalayak ramai sebegitu.

Setelah selesai membayar semua barang keperluan sekolah Nisa, mereka pun keluar dan menuju ke arah motosikal yang diberi pinjam ayah mereka. Hari itu ayahnya memberi kebenaran kepada Naqib untuk membawa Nisa ke pekan dan kebetulan pula ayahnya tidak dapat bekerja pada hari itu berikutan badan ayahnya itu berasa tidak sedap badan dan seperti masuk angin sahaja. Barangkali itulah yang ayahnya dapat sejak seminggu lebih keluar ke pekan semata-mata untuk mencari wang lebih buat pelajarannya. Hati kecilnya mengatakan bahawa ayahnya itu perlu cukup rehat memandangkan kondisi usia yang sudah lebih separuh abad.

Sebaik sahaja motosikal ayahnya itu tiba di perkarangan rumah, Naqib mematikan enjin motosikal lalu menyuruh Nisa turun dan masuk ke dalam rumah dahulu sementara dia membawa motosikal itu ke bawah rumah. Nisa masuk ke dalam rumah melalui pintu belakang rumah mereka, memandangkan Naqib telah menggunakan jalan belakang untuk pulang. Setelah selesai menyimpan motosikal ayahnya dengan rapi dan dikunci, Naqib ternampak sebuah kereta Proton Waja kelabu terpakir di hadapan rumahnya.

Dia amat kenal sekali pemilik kenderaan tersebut. Itu kereta kepunyaan penghulu kampung. Dalam hati Naqib, dia tertanya-tanya, apa yang penghulu kampung datang ke rumahnya tengah hari rembang sebegini? Dia mengambil keputusan untuk tidak mengendahkan sahaja persoalan yang bermain di kotak akalnya. Mungkin juga penghulu hanya ingin berbual-bual dengan ayahnya kerana penghulu dan ayahnya itu merupakan rakan sejak di bangku sekolah. Tatkala itu juga perut Naqib mengalunkan bunyi yang amat dikenalinya. Perutnya merayu-rayu minta di isi segera. Maklumlah mereka keluar ke pekan sejak pagi dan sekarang sudahpun masuk waktu zohor.

Naqib segera masuk ke dalam rumah melalui pintu hadapan. Dia memberi salam kepada tetamu yang berada di dalam ruang tamu rumahnya. Ternyata memang penghululah yang telah berkunjung ke rumahnya, tetapi dia tidak sangka bahawa Kesuma juga ada bersama. Naqib menyalam ayahnya dan kemudian barulah penghulu kampung. Kesuma berasa senang melihat tindakan Naqib itu. Dia berharap agar Naqib akan menegurnya setelah selesai bersalam dengan ayahnya. Tetapi, Naqib tidak sesekalipun memandang ke arah Kesuma. Dia terus membawa diri ke dapur. Hajat makannya itu lebih kuat. Kesuma hanya duduk diam. Makan hati. Ayahnya berasa sedikit malu dengan tindakan Naqib itu, lalu memanggilnya untuk turut serta bersama-sama mereka. Saat itu juga wajah Kesuma kembali ceria. Apa lagi, pucuk dicita ulam mendatang.

Ayahnya memberitahu kepadanya bahawa penghulu ingin menolong dia menyambung pelajaran ke universiti. Ayahnya menerangkan lagi, penghulu telah menyedari bahawa sehingga sekarang, Naqib masih tidak mendapat apa-apa tawaran daripada pihak penganjur mahupun kerajaan untuk menyambung pelajarannya. Ramai rakan seusianya telahpun mendapat tawaran daripada pelbagai pihak untuk melanjutkan pelajaran temasuklah sahabatnya, Sahri. Naqib mula memikirkan hala tuju masa depannya.

Penghulu yang hanya diam dari tadi mula bersuara. Dia menyatakan bahawa pelajar cemerlang seperti Naqib tidak sepatutnya disia-siakan begitu sahaja. Masakan kerajaan dan pihak penganjur tidak melihat kecemerlangan yang ditonjolkan Naqib di dalam peperiksaan SPM yang lalu. Kini sudah masuk pertengahan bulan Mei dan sampai sekarang masih tidak ada sebarang jawapan yang positif.

Naqib memikirkan kata-kata penghulu tadi. Benar, sekarang sudah berada lebih setengah tahun dan dia masih lagi bergelar pelajar lepasan SPM walhal rakan-rakannya ada yang telah menyambung pelajaran lebih awal daripadanya walaupun keputusan SPMnya jauh lebih baik daripada mereka. Sahri pula akan ke luar negara dua bulan lagi. Masakan dia tidak merasa sedikit sedih walaupun dia mengakui bahawa dia juga menumpang gembira atas kejayaan sahabatnya itu.

Kesuma yang hanya memerhatikan Naqib sejak tadi hanya tersenyum sendirian. Mana tidaknya, semua pelannya untuk bersama melanjutkan pelajaran bersama Naqib akan berbuahkan hasil. Dia hanya perlu tunggu sahaja apa kata putus yang akan diberikan ibu dan ayah Naqib serta Naqib sendiri.

Apabila menyedari suasana yang bertukar sunyi seketika, penghulu pun memberitahu Naqib mengenai hajatnya.

"Beginilah, Naqib. Pak cik kalau boleh nak hantar Naqib sambung pelajaran ke Jordan dalam bidang perubatan. Kesuma pun mungkin akan turut bersama." Mata penghulu kemudian menjeling ke arah Kesuma kerana dahulu hasratnya telah ditolak mentah-mentah. Apabila dia memberitahu bahawa dia ingin membantu keluarga Naqib dalam membiayai pembelajaran Naqib untuk ke Jordan, dengan tidak semena-mena Kesuma juga bersetuju untuk ke Jordan. Firasatnya menyatakan ada udang di sebalik batu. Memang pelik jika sebelum itu hasratnya itu ditolak sekeras-kerasnya oleh Kesuma, tetapi sekarang berubah pula keadaannya.

"Kesuma rasa bidang perubatan itu sesuai dengan Naqib. Tambahan pula, Naqib kan pelajar terbaik biologi ketika percubaan SPM dahulu. Kesuma yakin, Naqib mesti ada peluang yang cerah dalam bidang perubatan". Tambah Kesuma cuba untuk menyakinkan Naqib. Entah dari manalah dia tahu Naqib bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan. Dia hanya mengemukakan teorinya sahaja kerana selama ini dia selalu memerhatikan Naqib, cuma Naqib sahaja yang tidak melayaninya.

"Tok Penghulu boleh bagi masa sedikit tak? Saya rasa eloklah hal ini dibincangkan dengan semasak-masaknya dahulu. Naqib mungkin masih lagi terkejut dengan pelawaan Tok Penghulu ni. Sekurang-kurangnya bagilah kami masa seminggu untuk membuat keputusan." Ayah Naqib cuba bertindak bernas di saat-saat yang dia berpendapat seakan-akan mendesak itu.

Seketika itu juga wajah Kesuma menunjukkan sedikit risau. Berkemungkinan pelannya untuk bersama Naqib akan hancur. Jauh di suatu sudut hatinya menyatakan bahawa ayah Naqib sedikit sebanyak telah menyumbang ke arah kegagalan hajatnya itu. Matanya seraya memandang ke arah ayahnya pula. Dia berharap agar ayahnya itu dapat melakukan sesuatu agar Naqib dapat memberikan jawapan ketika itu juga. Namun ternyata ayahnya juga bersependapat dengan ayah Naqib. Rasa hampa menghurung hati.

Penghulu dan Kesuma kemudian mula meminta diri untuk pulang. Sungguh Kesuma berhasrat untuk berada lebih lama lagi di rumah itu tetapi apakan daya, dia harus mentaati ayahnya. Sebaik sahaja kereta Proton Waja milik penghulu itu berlalu meninggalkan perkarangan rumah, Naqib terus ke dapur untuk makan. Dia hampir-hampir sahaja terlupa bahawa perutnya masih kosong. Ayahnya hanya menggeleng-gelengkan kepalanya melihat telatah satu-satunya anak lelakinya itu.

Bersambung...

4 comments:

  1. lagi lagi lagi!!!! haha teruskan azeem!! *ceyh tak sabar. terpikir cemana boleh dapat ideaa menulis ek? hahaha hebat ah reka cerita bagai. (Y)

    ReplyDelete
  2. idea dtg mencurah2... xmau dipersiakan...

    ReplyDelete
  3. Aih, macam tak syok pulak tengah - tengah puas baca.. Then, bersambung... Haha.. Nampak tak dia punya feeling tu mcm mne. Aku boleh lagi dtg sini kan esok first final paper. Rehat minda tak mengapa.

    Kesuma.. Lebih indah Khairun Nisa...

    ReplyDelete
  4. haha... sabar ye... lps ni mesti mantop.. haha...

    ReplyDelete