Thursday, September 19, 2013

Adek =) Bab 5: Istikharah

gambar sekadar hiasan...
"Tok penghulu nak 'sponsor' abang adek. Pergi Jordan belajar 'medic'". Naqib hanya menjawab perlahan dan kemudian mencedok ayam goreng masak halia dan sayur kangkung ke pinggannya.

Nisa yang mendengar jawapan itu terus mengangkat kedua-dua keningnya. Nyata dia juga terkejut dengan jawapan yang keluar daripada mulut abangnya itu. Dia terdiam seribu bahasa. Bunyi air paip yang mengalir ke dalam sinki menyebabkan dia segera menyambung kerja yang di arahkan ibunya itu.

Naqib memahami benar perangai adiknya itu. Mereka berdua tidak pernah berpisah sejak kecil. Mereka berdua boleh dikatakan seperti belangkas walaupun sebenarnya mereka hanyalah saudara seibu. Ayah kandung Naqib telah meninggal dunia ketika Naqib masih berusia lima bulan di dalam kandungan ibunya. Atas nasihat nenek sebelah ibunya, ibunya itu mengambil keputusan untuk berkahwin lain sebaik sahaja selesai tempoh berpantang. Sesungguhnya Naqib memerlukan seorang ayah dan ibunya memerlukan seorang suami untuk bersama-sama membesarkannya.

"Abang, Jordan tu mesti jauh kan. Nanti abang balik jadi macam pak arab pula." Nisa cuba memecah suasana sepi yang menyilukan itu dengan berjenaka dengan abangnya. Dia berharap agar jenakanya itu tadi dapat mengembalikan 'mood' makan abangnya yang hilang tadi.

"Yelakan. Nanti abang lagi 'handsome' lepastu ramai yang nak dekat abang. Adek abang ni ada 'vision' juga rupanya." Celoteh Naqib selepas menyedari cubaan Nisa untuk mengembalikan 'mood' nya yang sudah hilang. Mereka kemudian tertawa bersama-sama. Kedua-dua adik-beradik itu telah mengubah suasana rumah yang kian sepi menjadi suam dan harmoni. Ibu mereka, Fatimah, hanya melihat dari jauh gelagat mereka berdua. 

Selesai sahaja makan dan mencuci pinggannya yang kotor, Naqib segera ke biliknya untuk menunaikan solat Zohor. Dia berdoa agar Allah mengurniakannya petunjuk dan keteguhan iman agar dia dapat membuat keputusan yang sewajarnya. Tawaran tok penghulu tengah hari tadi sangat merungsingkannya. Dia tidak tahu dengan kehendak hatinya. Selama ini dia tidak pernah terfikir hendak menceburi bidang apa-apa. Pendedahan mengenai kerjaya dan pengajian lepasan SPM sangat sedikit di sekolahnya. Dia tidak tahu bidang apa yang sesuai untuknya.

Dia kemudian termenung sendirian memikirkan sedalam-dalamnya mengenai tawaran tok penghulu itu. Jika dia menerima tawaran itu, ayahnya tidak perlu lagi berulang-alik ke pekan dan pulang lewat ke rumah setiap hari. Jika dia menolak tawaran tersebut, berkemungkinan juga dia tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran untuk masa terdekat dan ayahnya terpaksa bekerja keras semula. Setelah membuat pertimbangan, dia merasakan lebih banyak positifnya dia menerima tawaran itu daripada menolaknya. Tetapi dia tidak mahu mendengar kata hatinya sahaja. Dia juga perlu mendengar pendapat kedua-dua ibu bapanya. 

Seketika dia melihat kalendar yang tergantung di dalam biliknya. Sudah lama dia tidak menyemak kalendarnya itu. Dia melihat jika dia ada terlepas sesuatu pada minggu-minggu sebelumnya. Setelah berpuas hati dia melihat pula minggu-minggu yang akan datang dan akhirnya dia terbehenti pada satu tarikh yang dibulat merah. Dia cuba berfikir kenapa dia membulatnya dengan warna merah. Pasti ada sesuatu perkara yang penting berlaku pada hari itu. Dia cuba untuk mengingat berulang kali dan akhirnya dia teringat sesuatu. Dia menepuk kepalanya apabila dia boleh terlupa akan tarikh keramat itu. 

Naqib yang menyedari bahawa tarikh tersebut semakin hampir lantas dia membuka laci meja tulisnya dan mengeluarkan beberapa helai kertas dan pen. Sahabatnya, Sahri akan berlepas ke United Kingdom pada tarikh tersebut. Sebelum dia terus terlupa dia segera menulis surat untuk sahabatnya itu. Dia juga bernasib baik kerana sempat membelikan sesuatu untuk sahabatnya itu. Dia berjaya mencari jam tangan milik Sahri yang serupa seperti lima tahun dahulu ketika menemani Nisa membeli perkakas persekolahan tadi. Hanya itu sahaja yang dapat diberikan kepada Sahri. Simpanannya juga berkurangan dan dia perlu berjimat-cermat untuk membantu ayahnya membiayai kos menyambung pelajarannya nanti.

Keesokan harinya, dia ke rumah Sahri untuk menyerahkan pemberiannya itu kepada Sahri tetapi malangya tidak ada orang di dalam rumah ketika itu. Sahri kemudian mengambil keputusan untuk menunggu sahaja tuan rumah itu pulang. Setelah penat menunggu sambil berdiri, dia duduk pula di atas tangga. Selepas 15 minit berlalu, barulah Naqib terlihat kelibat seorang wanita menghampirinya. Wanita tersebut merupakan ibu Sahri. Setelah memberi salam, ibu Sahri menanyakan tentang urusan Naqib datang ke rumahnya. Naqib menyatakan yang dia ingin memberikan sesuatu kepada Sahri. Ibu Sahri yang melihat bungkusan yang dibalut dengan kain pelikat itu segera menyatakan perkara yang sebenar mengenai Sahri.

"Mak cik minta maaflah Naqib. Sahri dah bertolak ke KL bersama-sama dengan sepupunya ketika adik mak cik datang melawat. Dia kata dia nak bersama-sama dengan mereka sampai hari dia bertolak nanti. Mak cik tak dapatlah nak ikut sekali sebab Sani dan Suhaila masih bersekolah. Kami sekeluarga akan ke KL hujung minggu ni. Kalau kamu ada barang untuk Naqib, mak cik boleh tolong kirimkan apabila tiba di KL nanti." Terang ibu Sahri perkara sebenarnya kepada Naqib. Naqib yang mendengar penerangan ibu Sahri itu sedikit kecewa kerana tidak sempat untuk bersemuka dengan Sahri sebelum dia bertolak. Tambahan pula, Naqib tidak mempunyai telefon bimbit  untuk berhubung dengan Sahri, justeru dia memang tidak tahu bahawa Sahri telah berada di Kuala Lumpur. Jika dia dapat mengetahui dengan lebih awal, dia mungkin dapat bersemuka dengan sahabatnya itu.

Naqib kemudian bersetuju untuk menyerahkan sahaja bungkusan itu kepada ibu Sahri untuk dikirimkan kepada Sahri apabila mereka berada di Kuala Lumpur nanti. Ibu Sahri kemudian mengajak Naqib untuk masuk ke dalam rumah sekejap dan menikmati minum petang bersama-sama memandangkan Naqib telah lama menunggu kepulangannya. Pelawaan ibu Sahri itu ditolak Naqib dengan lembut dengan memberi alasan bahawa dia telah berjanji dengan ibunya untuk terus ke kedai sebaik sahaja menyerahkan bungkusan untuk Sahri. Ibu Sahri kemudian mengangguk dan menyampaikan salamnya untuk kedua-dua ibu dan ayah Naqib.

Selesai sahaja membeli barang yang dipesan ibunya, Naqib segera pulang ke rumah kerana waktu sudah menganjak ke senja. Mereka perlu bersiap untuk berjemaah maghrib bersama-sama di surau. Semasa dalam perjalanan, hati Naqib berasa tidak enak. Dia risau jika dia tidak dapat bertemu lagi dengan Sahri. Kemudian dia cuba untuk tidak melayan perasaan berlebihannya itu. Dia perlu bersangka baik terhadap Allah. Jika mereka diizinkan Allah untuk bertemu semula, insyaAllah hari tersebut akan tiba juga. Tetapi jika ditakdirkan untuk tidak bertemu lagi, insyaAllah mereka akan bertemu juga di syurga nanti. Hal ini dijelaskan dalam al-Quran surah An-Nisa ayat ke 28:

Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.

Ayat ini menegaskan bahawa Allah sentiasa berlaku adil dengan hamba-Nya kerana Allah juga memberi ujian mengikut kemampuan hamba-Nya, keadilan itu dapat di lihat kerana Allah tidak memberi ujian dengan berat kepada hamba-Nya yang lemah, melainkan sesetengah hamba-Nya yang kuat keimanan maka ujian yang di hadapinya juga kuat, tetapi itu semua kita jangan takut, kerana hamba yang bertaqwa di sisi Allah akan kental dan tabah dalam menghadapi ujianSabar itu penting dalam menghadapi ujian, kerana kesabaran yang tinggi membuatkan diri kita lebih yakin dengan Allah selain dapat meingkatkan keimanan kita. Oleh itu, hendaklah kita bersam-sama untuk memperbaiki diri sendiri supaya menjadi seorang hamba yang bersabar dan bersangka baik dalam menghadapi ujian yang Allah berikan kepada kita.

Apabila selesai menunaikan solat maghrib secara berjemaah di surau, Naqib mengambil keputusan untuk pulang awal ke rumah dan solat isyak bersama-sama dengan ibu dan Nisa sahaja nanti. Dia menunggu sehingga bacaan wirid dan doa imam yang panjang selesai dibacakan barulah dia akan beransur pulang. Semasa hendak pulang keluar dari surau, Naqib ternampak satu iklan yang baru diletakkan di papan kenyataan oleh AJK surau. Iklan tersebut menjelaskan mengenai karnival IPT yang bakal berlangsung di dewan serbaguna di pekan. Naqib segera mengingat tarikh dan waktu yang terpapar di dalam iklan itu. 

Setelah berpuas hati, Naqib segera pulang ke rumah dengan berjalan kaki. Ibunya dan Nisa telah lama pulang ke rumah. Semasa dalam perjalanan, ada sebuah kereta bewarna biru sedang bergerak perlahan lalu berhenti di sebelah Naqib. Lampu kereta yang terang menyebabkan mata Naqib berpinar seketika. Kemudian, pemandu kereta itu menurunkan cermin keretanya dan menanyakan Naqib di manakah rumah penghulu. Naqib yang masih samar-samar dapat melihat pemandu tersebut segera memberikan arah kepada pemandu tersebut. Sebaik sahaja mata Naqib dapat melihat semula, pemandu tersebut mengucapkan terima kasih lalu menaikkan semula cermin keretanya. Kereta tersebut meninggalkan Naqib dan menuju ke arah yang ditunjukkan Naqib tadi. Naqib hanya melihat dari jauh kelibat kereta itu meninggalkannya. Dia tidak sempat untuk mengecam apatah pula mengenali pemilik kenderaan tersebut.

Ayah Naqib masih lagi tidak pulang ke rumah walaupun jam telah menunjukkan 9 malam. Selalunya ayahnya akan pulang sebelum masuknya waktu isyak, tetapi pada malam itu ayahnya pulang rumah lebih lewat daripada biasa. Naqib yang mengenakan t-shirt bewarna hitam dan berkain pelikat coklat duduk di ruang tamu sambil menonton televisyen. Agak lama juga dia tidak menonton televisyen dan pada malam itu dia ingin meluangkan masa menontonnya. Pada masa yang sama dia juga ingin berbicang dengan ayahnya mengenai tawaran tok penghulu itu. Justeru sambil dia menunggu kepulangan ayahnya itu, bolehlah dia menonton televisyen sebentar.

Apabila Nisa selesai membantu ibunya mengemas dapur dan menyimpan lauk untuk ayahnya, dia ke ruang tamu untuk berbual dengan Naqib. Sebaik sahaja berada di ruang tamu dia tersenyum sendirian apabila melihat Naqib tersengguk-sengguk sambil menonton televisyen. Dia seperti keliru, adakah Naqib sedang menonton televisyen atau televisyen yang sedang menonton Naqib? Nisa yang kasihankan Naqib segera menghampirinya dan mengejutkan Naqib yang separuh sedar itu. Nisa menyuruh Naqib untuk tidur di dalam bilik sahaja. Naqib segera menyegarkan dirinya semula dan mengajak Nisa untuk duduk berbual dengannya sementara menunggu kepulangan ayah mereka. Nisa kemudian bersetuju dan duduk di sebelah Naqib sambil menonton televisyen bersama.

"Abang, Adek nak cakap 'something' ni." Nisa akhirnya bersuara setelah rancangan televisyen berhenti seketika untuk membenarkan rancangan iklan pula ditayangkan. Naqib kemudian mengangguk dan mengalihkan pandangan ke arah Nisa.

"Kalau abang nak pergi belajar Jordan, Adek boleh jaga mak dengan ayah. Jadi abang jangan risaulah ye. Adek seronok dapat tengok abang jadi orang berjaya bila balik sini nanti." Terang Nisa dengan ikhlas kepada Naqib. Mata mereka bertembung dan Naqib dapat merasakan Nisa sedang serius dalam percakapannya. Kemudian Naqib memandang semula ke televisyen dan berdiam seketika untuk menyusun kata-kata seterusnya.

"Adek abang ni risau lebih-lebih ya? InsyaAllah selagi abang belum jejak kaki ke Jordan, abang masih mampu lagi tengok-tengokkan mak dengan ayah tu. Dua-dua masih kuat lagi. Adek jangan fikir sangat pasai benda ni. Nanti boleh cepat tua." Naqib masih sempat lagi berjenaka dengan Nisa walaupun dia tahu bahawa jenakanya itu mungkin tidak ada kesan sama sekali terhadap adiknya ketika itu.

Nisa kemudian memandang wajah Naqib secara terus dan menarik badan Naqib agar mukanya bersemuka dengan Naqib. Nisa dengan serius dan bersungguh-sungguh menyakinkan Naqib yang dia merelakan abangnya belajar ke Jordan dan akan menjaga kedua ibu dan ayah mereka semasa Naqib di luar negara nanti. Naqib yang melihat mata Nisa sudah mulai memerah dan berair segera mengiyakan kata-kata Nisa dan cuba untuk menenangkan semula adiknya itu. Dia tidak sanggup melihat adiknya menangis lagi setelah kejadian adiknya itu dimarahi ayah mereka hanya kerana adiknya ingin membeli sebatang pen yang baru.

Nisa akhirnya berjaya ditenangkan Naqib dan berasa sedikit tenteram kerana berjaya meluahkan apa yang terpendam di dalam hatinya. Dia mengakui bahawa dia berat untuk berpisah dengan Naqib kerana sejak kecil mereka tidak pernah berpisah dan selalu bersama. Setelah menyedari bahawa malam sudah semakin lewat, Nisa kemudian meminta diri untuk ke bilik tidur. Naqib membiarkan adiknya itu ke bilik tidur dan berhasrat untuk tidak meneruskan perbualan lagi kerana takut adiknya akan menangis lagi. Sebelum masuk ke dalam bilik tidur, Nisa memalingkan wajahnya ke arah Naqib lalu memanggil abangnya.

"Abang, tadi lawak abang tu boleh tahan juga ya. Kalau abang cakap Adek nampak tua lagi, siap ya!" Nisa memberi amaran dan pada yang sama memberi respon terhadap gurauan abangnya. Naqib hanya tersenyum dan menggeleng-gelengkan kepalanya.

Sebaik sahaja Nisa masuk ke dalam bilik, ibunya pula datang menghampiri dan duduk di sebelahnya. Naqib memberikan ruang sedikit untuk ibunya agar mereka berdua boleh duduk dengan selesa. Ibunya menanyakan kenapa Naqib masih tidak masuk ke bilik dan tidur. Naqib menjawab bahawa dia hendak menunggu ayahnya pulang dan kemudian berbincang mengenai  tawaran tok penghulu. Kemudian ibunya menyarankan dia untuk masuk ke dalam bilik tidur sahaja kerana barangkali ayahnya akan pulang dalam keadaan penat dan sebaiknya tidak diganggu sahaja.

Naqib merasakan ada benarnya juga kata-kata ibunya itu. Lantas dia bangun meminta diri untuk masuk ke bilik tidur juga. Tetapi sebelum sempat dia bangun sepenuhnya, tangannya telah ditarik oleh tangan ibunya. Naqib kemudian duduk semula bersama ibunya. Ketika itu, ibunya pula meluahkan apa yang terpendam dalam hati keibuannya itu. Ibunya memberitahu bahawa Naqib perlu mempertimbangkan semula keputusannya untuk sambung belajar ke Jordan. Ibunya menerangkan lagi dia tidak mahu terhutang budi dengan keluarga tok penghulu. Tambahan pula, ibunya berasa tidak sedap hati yang Naqib akan belajar bersama-sama dengan Kesuma di sana. 

Ibunya memberitahu bahawa dia telah memerhatikan tingkah laku Kesuma sejak kebelakangan ini. Kesuma itu melayan ibunya dengan baik padahal sebelum ini Kesuma tidak pernah menegurnya apabila berjumpa. Ibunya memberitahu bahawa Kesuma kerap datang ke rumah untuk berjumpa dengan Naqib tetapi tidak kesampaian kerana Naqib keluar ke pekan bersama Nisa. Ibunya juga tidak selesa dengan cara Kesuma berpakaian yang dilihatnya seperti berlebih-lebihan dan menunjuk-nunjuk itu. Oleh itu, ibunya merayu kepada Naqib agar dia dapat memikirkan hal itu semasak-masaknya.

Naqib yang tidak terkejut dengan cerita ibunya itu hanya tunduk berdiam diri. Dia sudah mengagak bahawa Kesuma pasti akan mencarinya kerana dia tidak pernah membalas warkah yang diterimanya itu. Dia kemudian memberitahu ibunya tentang keadaan ayahnya yang setiap hari pulang lewat ke rumah semata-mata hanyalah untuk membiayai perbelanjaannya melanjut pelajaran ke universiti. Dia menerangkan bahawa dia tidak sanggup lagi melihat keadaan ayahnya yang semakin merosot kesihatannya dan dia merasakan tawaran tok penghulu untuk membiayainya itu tidak patut ditolak.

Ibunya kali ini meletakkan tangannya ke pipi Naqib dan kali ini dengan nada merayu memberitahu Naqib bahawa Naqib berhak untuk membuat apa sahaja keputusan yang dirasakan terbaik. Tetapi berdasarkan naluri keibuannya itu, ibunya memberitahu bahawa dia tidak mahu terhutang budi dengan mana-mana orang atas sebab kegagalannya menyediakan keperluan yang secukupnya untuk Naqib menyambung pelajaran. Dia tidak mahu nanti Naqib perlu mematuhi kehendak tok penghulu kerana telah terhutang budi. Apa yang dia paling merisaukannya adalah, apabila Naqib terpaksa menikah dengan Kesuma sebaik sahaja tamat ijazahnya nanti. 

Naqib kemudian menenangkan ibunya dengan berjanji bahawa dia tidak akan membenarkan semua yang dikatakan ibunya itu berlaku. Dia akan berbincang buat kali terakhir dengan ayahnya sebelum membuat keputusan muktamad. Dia juga akan selalu mendirikan solat sunat istikharah, memohon kepada Allah untuk tunjukkan kepadanya jalan yang paling terbaik untuknya. Setelah mendengar kata-kata Naqib itu, ibunya mula merasa tenang dan meredhai apa sahaja keputusan yang akan di buat anaknya itu nanti. Dia juga akan membuat solat hajat agar Naqib mendapat petunjuk daripada Allah untuk membuat keputusan yang tepat. Sesungguhnya doa seorang ibu itu sangat makbul. Boleh dikatakan antara 'top list' manusia yang Allah tidak akan tolak permintaannya. 

Selepas mengelap air mata yang gugur secara natural itu, ibunya membenarkan Naqib untuk kembali ke bilik tidur kerana hari sudah memasuki tengah malam. Naqib berasa sayu apabila melihat keadaan ibunya itu yang terpaksa mengharungi pelbagai dugaan demi kebahagiaan anak-anaknya. Cukuplah penderitaan ibunya ketika cuba melahirkannya tanpa seorang suami untuk menemani dan memberi sokongan. Dia mengagumi dengan ketabahan dan kekuatan dalaman yang ditonjokan oleh seorang wanita yang bergelar ibu. Ternyata takdir Allah meletakkan syurga anak di bawah telapak kaki ibu itu sangat tepat kerana sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui. Naqib kemudian membiarkan sahaja ibunya setia menunggu kepulangan ayahnya dan segera masuk ke dalam bilik.

bersambung...

No comments:

Post a Comment