Sunday, September 15, 2013

Adek =) Bab 3: Sahri

gambar sekadar hiasan...

Dia berasa sedikit kesal kerana tidak memaafkan sahaja kesalahan Naqib itu. Jika dia dan Naqib tidak bergaduh sejak dulu, mesti dia tidak akan berhadapan dengan situasi seperti ini. Sesungguhnya Allah telah mengurniakan sedikit hidayahnya kepada Sahri untuk berubah. Hanya tinggal kemahuan Sahri sahaja untuk berubah. Hal ini bolehlah diibaratkan seperti seseorang yang dahagakan air lalu meminta kepada Allah untuk diberikan air. Namun Allah tidak memberikan air kepadanya secara terus, akan tetapi Allah telah menyediakan air untuknya. Hanya tinggal untuk dia mencari dan berusaha mendapatkan air disediakan Allah kepadanya. Sahri masih lagi berada dalam kegelapan hasad yang memakan hatinya. Peristiwa dia lemas dan diselamatkan masih tidak dapat menginsafkannya. Namun, keadaan akan berubah apabila dia terdengar ketukan pintu bilik wadnya.

"Masuk" Sahri mengizinkan orang yang mengetuk pintu bilik wadnya untuk masuk. Pintu kemudian di buka perlahan-lahan lalu telah menimbulkan rasa curiga kepada Sahri. Sahri menanti penuh sabar untuk mengetahui identiti orang di sebalik pintu itu. Seketika, susuk tubuh orang yang telah mengetuk biliknya itu telah menonjolkan identitinya. Rupa-rupanya Amin yang datang menjenguknya. Dia datang sendirian dan tidak membawa apa-apa untuk diberikan kepada Sahri sebagai buah tangan.

"Eh, eh... beraninya kau datang ke sini! Kau kena ingat, ada hutang yang kau perlu 'settle' dengan aku. Tapi bukan hari ni... tunggu aku keluar dari hospital ni dulu." Sahri telah memberi amaran kepada Amin sebaik sahaja Amin menghampiri katil Sahri. Amin yang hanya berdiri sahaja sejak tadi tidak tahu bagaimana hendak memulakan bicara. Dia hanya membiarkan Sahri yang memulakan perbualan dan sebaik sahaja Sahri selesai dengan kata-katanya, dia ingin berterus terang kepada Sahri.

"Sebenarnya aku datang ni nak cakap 'something'. Bapak aku kena pindah tempat kerja di Johor. Jadi satu 'family' aku kena pindah sana. Aku pun kena pindah sekolah." Amin kemudian menghembus nafas perlahan-lahan setelah sekian lama memendam hasratnya itu untuk berterus terang kepada Sahri. Dia mengenali sikap Sahri yang seperti singa kelaparan itu. Silap cakap boleh sahaja dia dibaham Sahri. Jadi kalau boleh dia tidak mahu menimbulkan sebarang pergaduhan di situ.

"Huh, aku peduli apa! Muka kau pun aku naik meluat nak tengok. Memang baguslah kalau kau nak berambus. Aku lagi seronok kalau budak miskin tu pun ikut kau sekali. Dari dulu tak habis-habis menyusahkan aku ja." Balas Sahri dengan sinisnya. Amin memandang Sahri dengan pandangan tajam. Matanya mulai memerah kerana tidak tahan dengan kata-kata Sahri itu tadi. Tetapi dia sedar bahawa dia sedang berada di hospital. Tidak perlu untuk dia menimbulkan sebarang pergaduhan di situ. Dia kemudian menarik nafas dalam-dalam dan memulakan bicara seterusnya.

"Ingat aku sudi sangat ke nak jumpa kau. Kan bagus kalau budak miskin tu tinggalkan kau saja terkapai-kapai dalam sungai tu. Tak payah aku nak susah-susah datang ke sini tengok kau. Aku terus tengok kubur kau saja." Amin melepaskan apa yang terluah dalam hatinya. Barulah Sahri tahu sikap sebenar Amin. Budak itu bermuka dua dengan dia. Dulu bukan main merayu-rayu untuk berkomplot. Sekarang kawan makan kawan. Tetapi dia kemudian mengerutkan dahinya. Baru sahaja dia terdengar yang Amin memberitahu bahawa Naqib telah menyelamatkannya daripada kelemasan tempoh hari. Hampir-hampir dia tidak mempercayai kata-kata yang didengarnya itu. Masakan si Naqib itu ingin menolongnya setelah dia cuba untuk melemaskan Naqib. Lagipun, dia beranggapan bahawa Naqib juga telah jatuh dalam sungai setelah ditolak oleh Amin dan mereka berdua telah berjaya diselamatkan oleh orang kampung.

"Kau senanglah kan kalau tengok aku mati sekali dengan budak tu. Tapi masalahnya dia tu masih hidup juga. Hati aku tak tenang kalau aku masih nampak dia lagi lepas ni. Kau pula senang-senang pula nak pindah sekolah. Lepas tanggungjawab macam tu saja." Sahri masih tidak mahu mengalah dengan Amin. Dia harus menang dalam perdebatan itu. Dia berpendapat Amin perlu bertanggungjawab atas semua yang terjadi kepadanya. Amin yang telah tertolaknya jatuh ke sungai lalu di bawa arus sungai yang mengalir deras. Hampir-hampir sahaja dia tidak dapat melihat dunia ini lagi kalau tidak ada bantuan daripada orang kampung.

"Ah, aku malas lagi nak berdebat dengan kau di sini. Naik mual aku dengan bau kau dan hospital ini. Menyesal pulak aku datang jenguk kau. Lebih baik aku duduk rumah sahaja kemas barang. Tapi aku nak cakap perkara satu ja dengan kau. Kalau aku jadi kau, aku berterima kasih dengan budak miskin tu. Dia tu bukan saja selamatkan kau, malah dia tolong 'cover' lagi nama kita. Aku tak tahu dalam dunia ni ada lagi budak macam tu. Dah, lama-lama aku boleh muntah dekat sini juga. Aku balik dulu dan harap kita takkan jumpa lagi." Amin segera meninggalkan Sahri yang kebingungan di atas katilnya itu.

Sahri amat terkejut dengan kata-kata yang didengarnya tadi. Ternyata anggapannya telah salah sama sekali. Naqib tidak terjatuh bersama-samanya di dalam sungai tetapi Naqiblah yang telah mempertaruhkan nyawanya sendiri untuk menyelamatkan dirinya. Betapa bodohnya dia tidak menyedari hakikat itu sejak awal lagi dan lebih teruk lagi betapa daifnya hatinya untuk menerima hakikat bahawa Naqib bukanlah orang miskin yang tak tahu malu tetapi seorang manusia yang sentiasa beralah dengan keangkuhannya. Sesungguhnya sangat banyak dosa yang dilakukannya terhadap Naqib. Dia terfikir sendiri, adakah Naqib masih mahu menerima maafnya setelah apa yang telah berlaku. Dalam diam dia berdoa kepada Allah agar Dia dapat melembutkan hati Naqib agar untuk memaafkan kekhilafannya itu.

Sebulan telah berlalu, dan Sahri sudah lama dapat meneruskan persekolahannya. Setiap hari dia memandang bekas tempat duduk Naqib ketika Naqib masih berada di kelas itu. Ini semua salahnya juga yang menyebabkan Naqib terpaksa berpindah ke kelas sebelah. Dia juga berasa serba salah kerana sehingga sekarang dia tidak berani untuk berhadapan dengan Naqib dan meminta maaf kepadanya. Dia merasakan dirinya sangat lemah. Lemah untuk menghadapi kenyataan yang pahit itu.

Loceng waktu rehat telah pun berbunyi. Semua pelajar berpusu-pusu keluar dari kelas lalu menuju ke arah kantin. Hanya tinggal Sahri seorang sahaja di dalam kelas. Sejak sebulan yang lepas, dia tidak lagi ke kantin kerana takut jika dia terserempak dengan Naqib di mana-mana. Malah dia juga tidak selalu keluar rumah dan lebih suka mengurungkan dirinya di dalam bilik. Ibu bapanya menganggap bahawa dia sedang membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan UPSR yang semakin dekat. Jadi perubahan tingkah lakunya itu tidak menimbulkan sebarang syak terhadap ibu bapanya.

Ketika sedang asyik menyiapkan kerja sekolah yang diberikan gurunya itu, tiba-tiba perutnya rasa sakit sekali dan dia perlu ke tandas segera untuk buang air. Dia segera berlari ke arah tandas yang agak jauh daripada kelasnya itu. Setelah selesai segala urusannya di dalam tandas itu, dia mula keluar dan menuju semula ke kelasnya. Ketika dalam perjalanan, dia sempat melihat jam tangannya. Pukul 10.50 pagi. Waktu rehat hanya berbaki 10 minit lagi. Dia masih lagi sempat menyiapkan beberapa soalan kerja sekolahnya itu, lalu menyegerakan langkahnya menuju ke kelas. Seketika dia melepasi kelas Naqib. Dia mengalihkan pandangannya ke arah kelas itu sambil memperlahankan pergerakannya. Dia hanya melihat beberapa orang sedang belajar di dalam kelas itu dan ternyata Naqib tidak ada di dalam kelas ketika itu. Dia kemudian segera mengalihkan pandangannya semula ke hadapan dan tiba-tiba dia terlanggar seseorang dan telah menjatuhkan buku-bukunya ke lantai. Dia segera meminta maaf kepada orang itu tanpa melihat wajahnya dan segera mengutip semula buku-buku yang telah jatuh untuk diberikan semula kepada orang itu.

Orang itu hanya berdiri sahaja melihat Sahri mengutip buku-bukunya. Sahri kemudian mengambil buku latihan yang ada tertulis nama pemiliknya dengan besar sekali. Dia membaca nama yang tertulis di buku latihan itu. Muhammad Naqib Asyraff bin Ahmad. Dia kemudian tidak percaya bahawa dia sedang memegang buku latihan Naqib. Segera dia bangun dan memandang wajah orang yang dilanggarnya itu. Ternyata dia sebenarnya telah melanggar Naqib yang kebetulan juga tidak nampak orang yang lalu dihadapannya kerana sedang asyik membaca sambil berjalan.

Kedua-dua mata mereka sedang bertembung dan jelas kelihatan kekagetan di wajah mereka. Mulut mereka terkunci buat seketika. Suasana menjadi sunyi seolah-olah hanya mereka berdua sahaja di situ. Orang di sekeliling yang lalu lalang untuk masuk ke kelas kerana waktu rehat akan berakhir sekejap lagi tidak mengendahkan mereka berdua. Kemudian loceng telah berbunyi menandakan waktu rehat selama setengah jam itu telah tamat dan kelas seterusnya akan bermula. Ketika itu juga lamunan mereka berdua terhenti dan Sahri segera memberikan buku-buku yang dikutipnya itu kepada Naqib tanpa berkata apa-apa lalu kembali ke kelasnya. Dalam hati Sahri mengatakan sekurang-kurangnya dia telah meminta maaf dan dia tidak perlu lagi membebankan kepalanya memikirkan perkara itu dengan lebih lanjut.

Pada malam itu, Sahri tidak dapat melenakan matanya. Barangkali malam itu sangat panas dan kipas duduk biliknya yang rosak menyebabkan dia tidak dapat tidur dengan selesa. Dia kemudian mengubah posisi tidurnya dan berharap agar dia segera hanyut di bawa mimpi. "Hanyut?" Dia berkata sendirian lalu segera membuka matanya. Dia sekarang berada di satu tebing yang sangat tinggi. Kaki sebelah kirinya telah pun berada selangkah ke hadapan. Dia kemudian melihat ke bawah dan terdengar air yang sedang mengelegak. Sepantas kilat dia mengangkat semula kaki kirinya apabila merasakan dirinya hampir-hampir sahaja hendak jatuh ke bawah. Dia kemudian terduduk dan ketika itu juga wap air yang panas mendidih sedang tersembul di hadapannya. Dia dapat merasakan kepanasan wap air itu di wajahnya. Tubuh badannya segera mengeluarkan peluh.

Tiba-tiba dia dapat merasakan keadaan di sekeliling seperti bergoncang dengan kuat. Sedikit demi sedikit tanah di hujung tebing itu jatuh ke bawah. Sahri cuba untuk menyelamatkan dirinya tetapi dia hanya sempat memegang tanah yang masih belum lagi jatuh ke bawah. Dia sedang memaut di hujung tebing yang masih lagi kukuh. Kemudia wap air yang panas sedang meruap ke atas dan sebahagiannya telah terkena kaki Sahri yang tidak berkasut dan badannya yang tidak berbaju. Dia menjerit kerana separuh badannya telah melecur. Kemudian dia melihat ke atas dan terlihat Naqib sedang berdiri di atas tebing melihatnya. Sahri merayu kepada Naqib untuk menolongnya, tetapi Naqib hanya diam membatu.

Sahri masih lagi tidak berputus asa dan terus merayu kepada Naqib untuk menolongnya walaupun Naqib tidak memberikan sebarang respon kepadanya. Kemudian datang satu suara dari langit yang menyatakan:

"Dan umat tiap-tiap Rasul tidak berpecah belah dan berselisihan (dalam menjalankan agama Allah) melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang memberi mereka mengetahui (apa yang disuruh dan apa yang dilarang); berlakunya (perselisihan yang demikian) semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri dan kalaulah tidak kerana telah terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman) hingga ke suatu masa yang tertentu, tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta kepada mereka dan sesungguhnya orang-orang yang diberikan Allah mewarisi Kitab agama kemudian daripada mereka, berada dalam keadaan syak yang menggelisahkan terhadap Kitab itu.

-Petikan Al-Quran Surah As-Syuraa ayat 14-

Sahri kemudian berasa takut dan menangis apabila mendengar kata-kata itu. Tangannya mulai lemah dan tidak dapat bertahan lama lagi untuk terus berpaut di hujung tebing itu. Kemudian, dia terjatuh ke dalam air panas yang sedang mendidih itu dan dia menjerit sekuat hatinya. Setelah itu, dia membuka matanya. Dia tidak lagi berada di dalam air panas tadi. Dia tersedar bahawa dia sedang dipeluk erat ibunya yang juga sedang mengalirkan air mata. Baju Sahri lencun dengan peluhnya sendiri. Setelah menyedari bahawa dia hanya bermimpi, tangannya segera memeluk erat ibunya yang ketika itu masih lagi tidak melepaskan badannya dan kedua-dua mereka kemudiannya menangis.

Keesokan harinya, Naqib telah diberitahu guru kelasnya bahawa dia akan dipindahkan semula ke kelas lamanya. Naqib sangat terkejut dengan berita itu dan dia segera menanyakan sebab dia dipindahkan semula ke kelas lamanya itu kepada guru kelasnya. Guru kelasnya memberitahu bahawa Sahri yang memintanya untuk memindahkan Naqib semula. Naqib terdiam seketika. Dalam hatinya bermain seribu persoalan. Dia takut jika Sahri masih lagi mempunyai hasad terhadapnya dan ingin melalukan sesuatu yang tidak elok kepadanya. Kemudian dia tersedar bahawa dia sedang dibisik syaitan untuk berprasangka buruk. Dia terus teringat pesan ustazah dalam satu hadis Rasulullah SAW:Hadis dari Abu Hurairah, dari Nabi saw, beliau berkata

“Janganlah kalian berprasangka (buruk) kerana sesungguhnya prasangka (buruk) itu percaturan yang paling berdusta; janganlah kalian mencari-cari kesalahan dan menyelidiki kesalahan, jangan saling membenci, jangan saling membelakangi, dan jangan pula saling membenci, tetapi jadilah hamba Allah yang bersaudara.
(Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim, al-Turmudzi, Abu Daud, Ahmad, dan Malik).

Hadis sahih ini menyedarkan Naqib bahawa dia tidak seharusnya berfikiran sebegitu. Jika berlaku lagi perkara buruk ke atasnya selepas ini, itu semua adalah ujian Allah kepadanya. Dia mematuhi arahan guru kelasnya itu dan segera mengemas barang keperluannya. Apabila dia melangkah masuk ke kelas lamanya dahulu, semua pelajar di dalam kelas itu segera menghampirinya dan menolong memindahkan barang-barangnya. Dia dilayan seperti anak raja. Dia cuba untuk menolak permintaan rakan sekelasnya untuk menolongnya, tetapi diendahkan. Setelah selesai sahaja memindahkan barang. Sahri kemudian ke hadapan kelas dan menyuruh Naqib untuk ke hadapan bersama-samanya.

“Selamat pagi kawan-kawan. Pada hari ini kita seharusnya memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana teman kita, Muhammad Naqib Asyraff Ahmad telah kembali ke kelas ini. Hari ini saya mengumumkan bahawa Naqib adalah sahabat saya dunia akhirat. Sesiapa yang menyakitinya maka dia telah menyakiti saya.” Sahri mengakhirkan ucapannya dengan meminta maaf kepada Naqib dan mereka berdua bersalaman. Guru kelas mereka yang hanya berdiri di belakang kelas setelah melihat peristiwa itu terus mengucapkan rasa syukurnya kepada Allah kerana doanya telah dimakbulkan. Sesungguhnya doa seorang guru itu makbul.

Sejak itu, Naqib dan Sahri bersahabat baik dan tidak ada seorang pun yang berani untuk cuba meletakkan tangan ke atas mereka berdua. Sahri dahulunya sangat terkenal dengan gelaran gangster kampung. Jadi tidak mustahillah ramai yang kecut untuk berhadapan dengannya. Tetapi selepas dia bermimpi diazab tempoh hari, dia tidak lagi berperangai seperti seorang gangster. Dia sedar bahawa dia perlu menumpukan perhatian terhadap peperiksaan UPSR yang hanya tinggal seminggu. Semua ini adalah kerana dia ingin membalas jasa kedua ibu bapanya yang penat membesarkannya.

Sekarang, Sahri akan melanjutkan pelajarannya ke United Kingdom dalam bidang ekonomi. Sesungguhnya dia berasa sedih kerana Naqib tidak dapat bersama-samanya melanjutkan pelajaran ke luar negara. Dia harus menghormati haluan yang dipilih Naqib. Mereka berdua telah bersama sejak sekolah rendah dan sentiasa memperoleh keputusan cemerlang dalam apa-apa peperiksaan. Hari sabtu minggu hadapan adalah hari perpisahannya dengan keluarganya, kampung halamannya dan juga sahabat dunia akhiratnya. Sungguh, dia berasa masa itu sangat cepat berlalu.

Hari yang dinanti telahpun tiba. Sahri dan keluarganya telahpun berada di lapangan terbang antarabangsa KLIA. Setelah selesai berpelukan sesama ahli keluarga, sudah tiba masanya untuk dia mengucapkan selamat tinggal kerana dia perlu segera masuk ke dalam kapal terbang. Sebaik sahaja selesai membuat pemeriksaan tiket di hadapan get yang menghubungkan terminal dengan kapal terbang, dia kemudian ternampak ibunya yang sedang berlari ke arahnya. Dia segera berlari menuju ke arah ibunya dan menanyakan apa yang berlaku. Ibunya lalu mengeluarkan sesuatu dari dalam beg tangannya. Sebuah bungkusan yang dibalut dengan kain pelekat bewarna biru dikeluarkan. Bungkusan itu lalu diserahkan kepada Sahri dan ibunya memberitahu bahawa bungkusan itu daripada Naqib.

Pramugari yang berada di hadapan get itu memberitahu Naqib bahawa dia perlu berada di dalam kapal terbang segera kerana pemeriksaan penumpang akan diadakan dan arahan daripada ketua anak kapal dan kapten akan diberikan. Naqib segera memeluk ibunya buat kali terakhir dan menyalam tangan ibunya. Kemudian dia segera masuk ke dalam kapal terbang. Setelah kapal terbang berlepas, dia membuka bungkusan yang berada di tangannya itu. Ada sepucuk surat dan satu bungkusan lain di dalam plastik.

Assalammualaikum sahabatku. Pada mulanya aku mahu minta maaf kerana tidak sempat untuk membeli bungkusan yang lebih cantik. Kamu tentu masih ingat hari itu aku ada beritahu tentang tok penghulu ingin menaja pelajaranku. Sehingga sekarang aku masih lagi kebingungan. Harap kamu dapat mendoakan kejayaan aku walaupun apa sahaja keputusan aku dan keluargaku akan buat nanti. Kain pelikat itu masih baru ya dan tidak pernah pun aku cuba untuk memakainya kerana aku tahu kamu tidak suka memakai pakaian orang lain. Jadi, kamu tidak perlu khuatir ada bau yang bukan-bukan pula. Oh, sebelum terlupa ada satu lagi yang aku ingin berikan kepadamu. Kamu masih ingat peristiwa kamu lemas dahulu? Ketika kamu selamat dibawa ke darat, aku sempat melihat kamu di bawa oleh orang kampung ke hospital. Sesungguhnya aku sangat risau ketika itu. Selepas itu aku tersedar bahawa aku terpegang sesuatu yang aku percaya milikmu. Aku lihat barang itu sudah rosak lalu aku cuba untuk mencari gantinya. Bertahun-tahun aku cuba untuk mencari yang serupa bentuknya dengan yang rosak itu di pekan dan akhirnya aku jumpa juga ketika menemani adikku membeli barang persekolahannya tempoh hari. Aku lantas terus membelinya tanpa memikirkan soal harganya. Aku harap kamu dapat menerimanya seadanya. Aku pulangkan kepadamu kedua-duanya. Pesan terakhir dari sahabatmu, jangan lupa Allah dan jangan tinggal solat. Ingat pesan kedua-dua ibu bapamu. Pulanglah membawa kejayaan. InsyaAllah, jika diizinkan Allah, kita akan bertemu lagi di satu masa yang hanya Allah sahaja yang tahu. Sahabatmu, Naqib.

Setelah selesai membaca warkah daripada sahabatnya itu, dia terus membuka bungkusan plastik yang dikatakan mempunyai barang miliknya sejak dahulu. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati barang yang dimaksudkan Naqib itu adalah jam tangan digital pemberian ayahnya. Setelah kejadian dia lemas dahulu, dia menyangka bahawa jam tangannya telah hilang disebabkan kecuaiannya yang meletaknya di merata tempat. Dia juga telah dimarahi ayahnya akan hal itu. Sejak itu, dia tidak lagi memakai jam tangan ke sekolah. Dia tidak menyangka bahawa Naqib berjaya mencari jam yang bukan sahaja sama jenamanya tetapi modelnya juga walaupun dia berpendapat bahawa tidak mungkin model itu dikeluarkan lagi sekarang. Dia kemudian berbisik di dalam hatinya.

“Kamu memang sahabatku dunia akhirat, Naqib. Moga Allah merahmati usahamu dan hidupmu. Sehingga berjumpa lagi di suatu masa.”

bersambung…

No comments:

Post a Comment