Thursday, September 26, 2013

Adek =) Bab 8: Rapuh

gambar sekadar hiasan...
"Macam mana? Mak Salmah mahu terima kamu kerja kat situ?" Tanya Zainal sebaik sehaja menyedari anak sulungnya, Diana berada di hadapan pintu rumah bersama-sama lauk yang dibeli di restoran Mak Salmah.

"Mak Salmah kata dia tidak memerlukan pekerja sehingga hujung tahun ini. Lagi satu Mak Salmah kata hidangan yang kita tempah siap sebelum maghrib. Abah, macam mana dengan persiapan yang lain?" Diana menanyakan ayahnya tentang persiapan lain yang perlu dibereskan sempena majlis bacaan yassin di rumah baru mereka itu.

"Khemah dengan orang-orang surauh dah 'settle'. Orang kampung je belum dijemput. Nanti kamu berdua dengan Dania pergi jemput setiap rumah yang berdekatan la ye. Abah bereskan rumah yang lain." Zainal mengarahkan anaknya untuk menjemput orang-orang kampung dari rumah yang berdekatan. Selepas beberapa bulan isterinya meninggal dunia kerana menghidapi penyakit buah pinggang, Zainal telah dipindahkan ke tempat kerja yang baru di pekan. Dia sekarang tinggal bersama kedua-dua anaknya, Diana dan Dania. Mereka sekarang sedang sibuk membuat persiapan untuk majlis bacaan yassin setelah seminggu menduduki rumah baru tersebut.

Diana mengangguk tanda akur dengan arahan ayahnya itu. Dia kemudian membawa lauk-pauk yang baru dibeli di restoran Mak Salmah ke dapur dan menyimpannya di dalam tudung saji. Lauk-pauk itu adalah hidangan makan malam mereka untuk hari itu. Sejak ibunya meninggal dunia, Diana mengambil alih tugas-tugas di dapur manakala adiknya, Dania pula bertugas menguruskan pakaian kotor untuk dibasuh. Kehidupan mereka sekeluarga tidak seceria seperti dahulu. Walaubagaimanapun, ayah mereka tetap berusaha untuk menyediakan keperluan yang mencukupi untuk mereka sekeluarga agar mereka dapat hidup di tempat baru dengan selesa.

Dania sekarang berada di tingkatan 5 bersekolah di asrama penuh di Perak manakala Diana pula mengambil keputusan untuk menamatkan pengajian diplomanya seminggu selepas kematian ibunya. Dia memberitahu ayahnya bahawa dia akan menyambung semula pengajian bersama-sama dengan adiknya, Dania pada tahun hadapan. Sementara itu, Diana bercadang untuk bekerja sambilan untuk menghilangkan rasa bosan berada di rumah. Setiap hari dia akan berulang-alik ke pekan dengan basikalnya untuk mencari kerja dan juga membeli lauk untuk makan malam mereka di restoran Salmah. Kadang-kadang dia akan ke sungai untuk mengambil angin dan menenangkan minda. Diana berbakat dalam melukis dan dia bercita-cita untuk menjadi seorang arkitek. Apabila cuaca tidak mengizinkannya untuk keluar rumah, dia akan melukis di dalam buku lukisannya di dalam biliknya.

Apabila hampir 2 jam menangis dan mengurung diri di dalam bilik, Nisa akhirnya keluar juga daripada biliknya itu. Dia segera menuju ke dapur untuk mengisi perutnya yang sedang kelaparan. Dia berasa gembira apabila melihat di atas meja makan terhidang lauk kesukaannya iaitu ikan bakar tiga rasa. Dia lantas memanggil abangnya untuk makan bersama. Apabila panggilannya tidak dijawab setelah beberapa kali dia memanggil abangnya itu, dia mengambil keputusan untuk ke bilik abangnya. Pintu bilik Naqib tidak ditutup dan sebaik sahaja Nisa tiba di hadapan pintu, dia ternampak abangnya sedang memegang sesuatu seperti ubat-ubatan. Akibat rasa ingin tahu yang mendalam, Nisa kemudian mengintip abangnya dari luar bilik. Naqib masih merenung ke arah plastik ubat yang sedang dipegangnya. Oleh sebab Nisa penat mengintip dari luar, dia akhirnya masuk ke dalam bilik abangnya dan menegur Naqib.

Naqib yang baru tersedar adiknya sudah berada di dalam biliknya terus menyimpan ubat-ubatannya di dalam almari baju. Dia kemudian memberitahu Nisa bahawa dia ada membawa pulang lauk kesukaan adiknya dan meletaknya di atas meja di dapur. Nisa kemudian mengangguk dan mendiamkan diri. Matanya seakan-akan menunggu penjelasan daripada Naqib. Naqib berasa tidak selesa setelah menyedari wajahnya ditenung lama-lama oleh adiknya. Dia kemudian mengajak adiknya untuk makan bersama dan mereka berdua keluar dari bilik itu. Nisa sempat melihat semula ke belakang dan cuba mencari di mana Naqib menyimpan ubat-ubat tadi. Dia beranggapan bahawa abangnya sedang menyembunyikan sesuatu daripada dia dan keluarganya.

Nisa dan abangnya makan bersama di dapur. Ibu mereka ketika itu sedang keluar ke sawah untuk berjumpa dengan isteri tok penghulu. Naqib yang menyedari bahawa suasana ketika itu sunyi sejak mereka mula makan kemudian melihat gelagat Nisa yang sedang makan dengan perlahan. Setelah menyedari bahawa adiknya itu makan sangat sedikit, dia kemudian mencedok sedikit nasi dan menambah ke dalam pinggan adiknya. Dia juga meletakkan ikan bakar yang sedikit dimakannya ke atas pinggan Nisa. Nisa membiarkan sahaja abangnya berbuat demikian. Naqib menantikan sebarang respon daripada adiknya, tetapi Nisa hanya berdiam diri dan masih menjamah makanan di hadapannya itu.

Walaupun lauk yang dihidangkan adalah kesukaannya, tetapi Nisa seperti sudah hilang selera untuk menjamah makanan di hadapannya. Naqib kemudian menanyakan Nisa kenapa adiknya itu pulang awal daripada sekolah. Nisa masih berdiam diri dan tidak mahu menjawab soalan yang ditanyakan Naqib. Naqib merasakan adiknya itu masih bersedih kerana dimarahi ayahnya, justeru dia mengambil keputusan untuk membiarkan adiknya sendirian dahulu. Dia kemudian membawa pinggan makannya ke sinki dan membasuh tangan. Semasa hendak keluar dari dapur adiknya kemudian bersuara.

Nisa menceritakan semuanya tentang apa yang sedang berlaku di sekolahnya tadi. Naqib hanya mendengar dan membiarkan adiknya selesai menceritakan kepadanya. Dia berasa lega kerana Nisa menangis bukan disebabkan dia dimarahi ayahnya tetapi dia dimarahi oleh Ustazah Kamariah. Naqib hanya mengenali Ustazah Kamariah melalui foto yang ditunjukkan oleh ibunya suatu masa dahulu selepas ibunya memberitahu bahawa rakannya itu sudah berpindah sekolah ke sekolah dimana Nisa sedang belajar sekarang. Naqib diberitahu ibunya bahawa Nisa dan Ustazah Kamariah mempunyai persamaan. 

Sebaik sahaja Nisa selesai menceritakan apa yang berlaku kepadanya, Naqib kemudian menasihati Nisa agar segera meminta maaf kepada Ustazah Kamariah. Walaupun Naqib mengetahui bahawa adiknya tidak bersalah dan hanya ingin membela dirinya, tetapi sebagai seorang pelajar haruslah menghormati dan mentaati gurunya. Justeru, meminta maaf walaupun kita tidak bersalah diharuskan di dalam Islam. Hal ini jelas diterangkan di dalam Al-Quran Surah An-Nur ayat ke 22:

"Hendaklah mereka memberi maaf dan melapangkan dada.
Tidakkah kamu ingin diampuni oleh Allah?"

Kesan yang disampaikan oleh ayat tersebut adalah anjuran untuk tidak menanti permohonan maaf dari orang yang bersalah, melainkan hendaknya memberi maaf sebelum diminta. Mereka yang enggan memberi maaf pada hakikatnya enggan memperoleh pengampunan daripada Allah SWT. Hal ini juga bertujuan untuk mengelakkan daripada terputusnya hubungan silaturrahim sesama saudara Islam. Nisa hanya mengangguk tanda bersetuju dan insaf dengan dirinya yang cepat berasa sensitif. Nisa yang menyedari bahawa abangnya hendak masuk semula ke dalam bilik kemudian menyuruh abangnya untuk tunggu sekejap di situ. Setelah abangnya mengalihkan wajahnya dan menantikan apa yang ingin dikatakan Nisa, Nisa akhirnya mengatakan bahawa dia tidak ada apa-apa untuk dicakapkan dan mengucapkan terima kasih kerana memahami situasinya ketika itu. Naqib kemudian tersenyum dan meninggalkan adiknya sendirian untuk menyambung menjamu seleranya.

Nisa tahu bahawa dia baru sahaja membohongi dirinya sendiri apabila menyatakan bahawa dia tidak ada apa-apa untuk dicakapkan kepada Naqib. Sebenarnya dia ingin menanyakan tentang ubat-ubat yang dilihatnya di dalam bilik tadi. Dia ingin tahu bahawa abangnya tidak terlibat dalam apa-apa kegiatan tidak bermoral dan berada dalam keadaan baik-baik sahaja. Dia kemudian menyesal kerana tidak berterus-terang sahaja kepada Naqib berkenaan rasa ingin tahunya itu.

Sebaik sahaja selesai mengemas dapur, ibu mereka akhirnya pulang ke rumah. Ibunya yang ternampak ada lauk ikan bakar tiga rasa yang masih lagi tidak bersentuh di atas meja makan lantas menanyakan Nisa dari manakah datangnya lauk tersebut. Nisa memberitahu bahawa Naqib yang membawa pulang daripada restoran Mak Salmah. Ibunya hanya mengangguk tanda faham dan kemudian menyimpan lauk tersebut ke dalam tudung salji untuk dimakan bersama suaminya apabila suaminya pulang nanti. Setelah selesai mengemas dapur, ibu Nisa menyuruhnya untuk mengemas daun-daun kering di halaman rumah. Nisa kemudian segera mematuhi arahan ibunya itu.

Semasa sedang mengemas dan menyapu daun-daun kering di sekitar halaman rumah, Nisa ternampak seorang perempuan yang datang berjalan menuju ke arahnya. Nisa tidak mengenali perempuan tersebut tetapi dia amat kagum dengan gaya perempuan tersebut menggayakan pakaiannya yang menutup aurat. Nisa kemudian menanyakan perempuan tersebut adakah dia sedang mencari sesiapa di dalam rumahnya. Perempuan tersebut memberitahu bahawa dia tidak mencari siapa-siapa tetapi hanya ingin memberitahu bahawa keluarga Nisa dijemput untuk menghadiri majlis bacaan yassin di rumah barunya. Nisa kemudian mengangguk dan memanggil ibunya yang ketika itu sedang mengangkat pakaian yang sudah kering di ampaian di belakang rumahnya. 

Sementara menunggu ibunya datang, Nisa memperkenalkan dirinya dan sempat menanyakan nama perempuan tersebut. Perempuan tersebut senang untuk memberitahu namanya kepada Nisa. Nisa yang mengetahui nama perempuan tersebut ialah Diana kemudian memuji pakaian yang dipakai oleh Diana. Diana hanya tersenyum dan mengucapkan terima kasih. Diana memberitahu bahawa baju yang sedang dipakainya adalah milik arwah ibunya. Nisa yang mengetahui bahawa ibu Diana sudah meninggal dunia kemudian tidak mahu meneruskan lagi perbualan tentang kekagumannya terhadap pakaian yang dipakaikan Diana. Dia tidak mahu Diana berasa sedih kerana mengingatkan ibunya yang baru sahaja beberapa bulan meninggal dunia.

Naqib kemudian keluar dari rumah setelah menyedari tiada siapa yang berada di dalam rumah. Dia kemudian ternampak Nisa sedang berbual-bual dengan seorang perempuan yang seperti dikenalinya. Apabila menghampiri dengan lebih dekat barulah dia menyedari bahawa perempuan yang sedang berbual dengan adiknya itu ialah Diana. Diana kemudian terdiam apabila terlihat Naqib memunculkan dirinya. Nisa kemudian hairan dengan situasi yang sedang dilihatnya ketika itu. Naqib dan Diana kemudian mengangkat jari telunjuk masing-masing. Naqib tidak menyangka bahawa dia akan berjumpa dengan Diana di rumahnya sendiri. Nisa yang baru saja mengetahui bahawa abangnya dan Diana sudah lama mengenali satu sama lain kemudian membiarkan mereka berdua berbual-bual sebentar.

Kemudian ibu mereka datang menghampiri Nisa dan menanyakan mengapa anaknya itu memanggilnya. Nisa memberitahu bahawa ayah Diana menjemput mereka sekeluarga untuk menghadiri majlis bacaan yassin di rumah baru mereka pada malam jumaat ini. Ibunya mengangguk dan melihat Naqib dan Diana berbual dengan mesra sekali. Diana yang menyedari bahawa ibu Naqib sudahpun berada di situ kemudian menyalam tangannya dan memberitahu ibu Naqib mengenai jemputan keluarganya itu. Ibunya memberitahu bahawa Nisa telah memberitahu semuanya. Dia kemudian menanyakan adakah dia sudah lama mengenali Naqib. Diana memberitahu bahawa Naqib pernah membantu membaiki basikalnya dahulu di pekan. Ibunya hanya mengangguk dan tersenyum. Ibu Naqib kemudian mengajak Diana untuk berbual sebentar sambil duduk di kerusi di bawah pokok yang berdekatan dengan tempat mereka berdiri. Diana dengan ringan hati menerima permintaan ibu Naqib itu.

Nisa kemudian menghampiri abangnya dan menyiku badan abangnya. Wajah Naqib mulai memerah apabila adiknya berkelakuan sedemikian. Dia kemudian masuk ke dalam rumah dan membiarkan adiknya di luar bersama-sama dengan Diana dan ibunya. Semasa hendak menyertai perbualan antara Diana dan ibunya, Nisa ternampak kelibat Kesuma yang baru sahaja melepasi jalan di hadapan rumahnya. Nisa dapat merasakan bahawa Kesuma sedang mengintip gelagat mereka di situ tetapi dia segera meletakkan tanggapannya itu jauh-jauh kerana risau merosakkan hati. Kesuma yang baru sahaja melepasi rumah Naqib kemudian bercakap sendirian. Dia menyatakan bahawa dia akan hancurkan hubungan Naqib dengan Diana. Orang yang sedang berjalan arah bertentangan yang terlihat Kesuma sedang bercakap sendirian kemudian memberitahu Kesuma bahawa dia sudah gila. Kesuma kemudian merenung wajah lelaki tersebut dengan pandangan maut. Mahu sahaja dia membaham lelaki itu di situ juga tetapi dia membiarkan sahaja lelaki tersebut dan segera pulang ke rumah.

Malam jumaat yang dinanti-nantikan Naqib telah tiba. Dia siap mengenakan baju melayu biru dan berseluar hitam manakala ayahnya pula berbaju melayu putih dan berkepelikat coklat. Nisa dan ibunya mengambil keputusan untuk memakai baju kurung yang dipakai mereka pada hari raya tahun lepas. Mereka menuju ke arah rumah Diana yang dahulunya merupakan rumah keluarga Amin. Semasa dalam perjalanan, Nisa beberapa kali menyiku abangnya tetapi Naqib hanya membiarkan sahaja adiknya berkelakuan begitu. Dia tahu bahawa adiknya itu sudah mengetahui sesuatu tentang hubungan dia dengan Diana dan dia tidak mahu memperbesarkan mengenai hal itu.

Sebaik sahaja sampai di perkarangan rumah Diana, Naqib ternampak ada dua buah khemah telah didirikan di halaman rumah tu. Kehadirang mereka kemudian dijemput oleh ayah Diana sendiri, Zainal. Naqib dan ayahnya bersalam dengan ayah Diana. Ayah Diana kemudian memberitahu mereka di mana tempat untuk tetamu perempuan dan di mana tempat untuk tetamu lelaki. Setelah itu, ayah Naqib menyuruh keluarganya yang lain untuk masuk ke dalam rumah dahulu sementara dia mahu berbual ringkas bersama dengan ayah Diana. Naqib dan yang lain pun akur dan mula masuk ke dalam rumah. Sebaik sahaja Naqib dan keluarganya masuk ke dalam rumah, Kesuma dan keluarganya pula tiba. Kesuma kemudian mencari kelibat Naqib di luar rumah dan menganggap bahawa Naqib telah masuk ke dalam rumah sebaik sahaja tidak terlihat kelibat Naqib di situ. 

Setelah tok imam telah sampai ke rumah itu, maka majlis bacaan yassin pun dimulakan. Sebaik sahaja selesai membacakan yassin dan doa selamat, ayah Diana memberikan sedikit ucapan penghargaan kepada tetamu yang hadir sebelum mereka semua dijemput untuk menikmati hidangan yang disediakan di luar. Naqib masih tidak ternampak kelibat Diana sejak dia mula menjejakkan kakinya di situ. Kesuma pula sedang berkeliaran mencari Naqib dan setelah dia ternampak Naqib dia kemudian tersenyum sendirian. Sebentar tadi Kesuma ada menyuruh Diana untuk menunjukkan adik lelakinya yang baru berusia sepuluh tahun arah bilik air rumahnya. Adik lelakinya itu dijadikan umpan agar Naqib tidak terjumpa Diana buat seketika sementara dia cuba untuk berbual dengan Naqib.

Kesuma kemudian menghampiri Naqib yang ketika itu sedang membasuh tangannya. Naqib sedikit terkejut dengan kedatangan Kesuma yang secara tiba-tiba. Kesuma memberitahu Naqib bahawa dia perlu segera ke tandas di belakang rumah untuk menemani adiknya. Dia kemudian menyerah seutas jam tangan perempuan kepada Naqib. Kesuma memberitahu bahawa dia terjumpa jam tangan tersebut semasa bacaan yassin telah tamat. Dia menyuruh Naqib menyerahkan jam tangan tersebut kepada Diana kerana dia percaya bahawa jam tangan tersebut milik Diana apabila dia ternampak Diana yang duduk disebelahnya sedang memakai jam tangan tersebut. Kesuma memberitahu bahawa dia ternampak Diana di bahagian tingkat atas rumahnya. Kesuma kemudian menyatakan bahawa tidak ada orang lain yang dia percaya lebih daripada Naqib sendiri dan berharap agar Naqib dapat mengembalikan jam tersebut kepada pemiliknya. Naqib kemudian ditinggalkan Kesuma yang seperti dalam keadaan tergesa-gesa.

Naqib pada mulanya hendak mencari di mana ayah Diana berada dan mahu menyerahkan sahaja kepadanya tetapi dia tidak berjaya kerana ramai tetamu yang sedang bergerak menyebabkan dia sukar untuk melihat keadaan di sekelilingnya. Dia kemudian mengambil keputusan untuk masuk ke dalam rumah dan mencari Diana. Setelah mendapati tiada Diana atau ayahnya di tingkat bawah, dia kemudian naik ke tingkat atas. Setelah menyedari bahawa tiada orang di tingkat atas, dia bercadang untuk turun semula ke bawah. Tetapi sebaik sahaja dia hendak turun, ayah Diana sedang naik ke atas dan merenung tajam ke arahnya. Ayah Diana kemudian mengambil jam tangan yang sedang dipegang oleh Naqib.

Tanpa usul periksa dan mendengar penjelasan daripada Naqib, dia menarik tangan Naqib dan membawanya turun ke bawah. Apabila mereka berdua telah berada di hadapan khalayak ramai, ayah Diana kemudian membuat pengumuman bahawa dia baru sahaja menangkap pencuri yang mencuri jam tangan arwah isterinya. Orang sekeliling yang sedang asyik dengan aktiviti mereka kemudian terdiam dan mengalihkan perhatian ke arah mereka berdua. Diana yang selesai menemani adik lelaki Kesuma kemudian terkejut dengan pengumuman yang dibuat oleh ayahnya. Naqib kemudian cuba untuk menceritakan perkara yang sebenarnya.

Naqib memberitahu bahawa Kesuma telah terjumpa jam tangan tersebut dan menyerahkan kepadanya untuk diserahkan semula kepada pemiliknya. Tok penghulu yang berada di situ kemudian memberitahu bahawa Kesuma telah pulang ke rumah semasa bacaan yassin masih berlangsung kerana Kesuma mengadu bahawa dia berasa sakit perut dan pening-pening. Semua orang di situ mula berbisik-bisik sesama sendiri. Naqib kemudian cuba memberitahu bahawa dia benar-benar menerima jam tangan tersebut daripada Kesuma sendiri dan dia tidak menipu. Diana yang melihat kejujuran yang terpampang di wajah Naqib mempercayai kata-katanya. Ayah Diana kemudian diberitahu bahawa ada beberapa orang yang menjadi saksi bahawa Naqib naik ke tingkat atas rumahnya dan masuk ke dalam bilik tidurnya.

Sekali lagi, suasana ketika itu menjadi hiruk pikuk yang menyatakan bahawa Naqib benar-benar bersalah. Nisa yang baru sahaja menyedari bahawa abangnya sedang dibicarakan memberitahu bahawa perkara yang dikatakan ayah Diana itu tidak benar dan abangnya tidak pernah mencuri. Ayah Diana kemudian memanggil kedua ibu bapa Naqib kehadapan untuk melaporkan mengenai kecurian yang dilakukan oleh anak mereka. Ayah Naqib kemudian meminta agar perkara tersebut dibincangkan antara keluarga mereka sahaja dan tidak perlu dibesar-besarkan kepada khalayak ramai. Ibu Naqib pula menangis keesakkan apabila mengetahui bahawa anaknya telah dituduh mencuri. Dia yakin bahawa Naqib tidak akan melakukan perkara seperti itu. Nisa kemudian mendekati ibunya dan mententeramkan ibunya. 

Diana juga ingin mententeramkan ibu Naqib dan menghampirinya. Nisa yang melihat Diana cuba untuk mententeramkan ibunya menepis badan Diana. Nisa memberitahu Diana bahawa semua ini adalah rancangannya untuk memburukkan Naqib. Diana yang tahu bahawa dirinya tiada kaitan dengan kecurian yang dilakukan Naqib menerangkan kepada Nisa bahawa dia tidak ada niat sedikitpun untuk memburukkan abangnya itu. Nisa tidak percaya dan menyuruh Diana untuk menjauhkan dirinya daripada ibunya. Ibu Nisa kemudian merayu kepada Diana agar membantu Naqib melepaskan diri daripada tuduhan mencuri, tetapi Diana memberitahu bahawa dia tidak boleh berbuat apa-apa kerana dia pun berasa curiga dengan firasatnya.

Nisa kemudian menolak Diana dan kedua-dua mereka bergaduhan sambil disaksikan orang ramai. Ibu Nisa cuba untuk meleraikan pergaduhan tersebut sementara ayah Diana pula telah membuat keputusan untuk menyerahkan sahaja kes tersebut kepada polis. Naqib kemudian merayu kepada ayah Diana untuk tidak membawa masalah tersebut ke pihak polis. Ayah Naqib kemudian memberitahu bahawa dia menyesal dengan sikap ayah Diana yang terburu-buru tanpa usul periksa dan bersetuju dengan permintaan ayah Diana jika dirasakan tindakan itu dapat menyelesaikan masalah yang sedang timbul.

Ayah Diana sempat memberitahu kepada orang ramai bahawa Naqib merupakan seorang yang tidak bertanggungjawab terhadap kesalahannya dan seorang munafik kerana berpura-pura baik dan sopan terhadap keluarganya walhal dia telah menrencanakan sesuatu sejak awal lagi. Ayah Naqib yang mendengar kata-kata itu menyuruh ayah Diana untuk menarik semula kata-katanya kerana dia yakin anak lelakinya itu tidak berkelakuan seperti yang dikatakan. Ibu Naqib kemudian datang ke hadapan dan mencurah air sirap ke muka ayah Diana dan memberi amaran kepadanya bahawa jangan sesekali memburukkan anak lelakinya itu di hadapan khalayak ramai. Jika benar Naqib terbukti bersalah dia menerima dengan redha tetapi dia yakin bahawa selama dia membesarkan Naqib, dia tidak pernah mengajar anaknya itu untuk mencuri.

Tindakan ibu Naqib yang memalukan keluarga Diana itu menyebabkan ayah Diana mengambil keputusan untuk tidak membawakan kes tersebut ke pihak polis tetapi menghalau semua ahli keluarga Naqib daripada rumahnya. Ayah Diana memberitahu kepada Diana agar jangan sesekali berjumpa dengan Naqib dan keluarganya nanti. Tindakan keluarga Naqib terhadap keluarganya pada malam itu tidak dapat dimaafkan. Naqib yang bersyukur kerana perkara itu tidak dibawakan kepada pihak polis kemudian memberitahu kepada ayah Diana bahawa orang yang patut dihukum adalah dirinya bukan keluarganya. Ayah Diana tidak memberi muka kepada Naqib dan menyuruh mereka yang hadir untuk segera pulang ke rumah kerana majlis tersebut telah tamat.

Diana kesal dengan sikap ayahnya yang panas baran dan terburu-buru. Dia juga kesal dengan tindakan ibu Naqib kerana telah memalukan ayahnya di khalayak ramai. Diana sekarang buntu dengan dirinya sendiri sama ada dia mahu menyalahkan Naqib atau ayahnya kerana dia tidak tahu siapa di antara mereka yang bercakap benar. Tetapi jauh di sudut hatinya dia tidak menyangka bahawa Naqib sanggup melakukan perkara sebegitu. Perkara yang menguatkan firasatnya yang menyatakan Naqib kemungkinan bersalah ialah jam tangan arwah ibunya itu disimpan di tempat yang agak tersembunyi, jadi agak mustahil untuk orang terjumpa jam tersebut dengan hanya melihat tanpa mencari dengan bersungguh-sungguh. 

Nisa kemudian menarik tangan Naqib dan mereka sekeluarga pulang ke rumah. Sempat Nisa merenung tajam ke arah Diana kerana telah memalukan mereka sekeluarga. Diana pula sempat melihat Naqib di bawa pulang oleh keluarganya dan berasa kasihan dengan Naqib, tetapi perasaannya menyatakan bahawa dia tidak seharusnya berfikir begitu terhadap pencuri jam tangan ibunya. Naqib masih mengharapkan agar Diana mempercayai dirinya walaupun semua bukti telah menunjukkan bahawa dia bersalah. Kesuma yang mengintip keadaan di situ di sebalik pokok-pokok di sekeliling hanya mampu tersenyum kepuasan kerana baru sahaja buat pertama kalinya rancangan yang dirancangnya berhasil. Dalam hatinya menyatakan bahawa dia tidak ada lagi menyimpan dendam kepada Diana kerana mendekati dan cuba merampas Naqib daripadanya. 

bersambung...


No comments:

Post a Comment