Wednesday, September 25, 2013

Adek =) Bab 7: Takdir

gambar sekadar hiasan...

"Timah, Macam mana dia sekarang?" Tanya Ustazah Kamariah kepada Fatimah, kenalannya sejak sedekad lebih yang lalu. Pada hari itu, Naqib dan Nisa tidak ada di rumah. Mereka telah keluar sejak pagi untuk memancing ikan sambil bersiar-siar di sekitar sungai.

"Alhamdulillah, dia dah membesar jadi budak baik sekarang. Kalau kau sempat tengok dia nanti mesti kau pun akan bersyukur." Balas Fatimah sambil tersenyum manis. Ustazah Kamariah merupakan seorang guru pendidikan Islam di sebuah sekolah menengah yang terletak di pekan. Pada hari itu, dia berhajat untuk menziarahi kenalan lamanya itu setelah sekian lama tidak bertanya khabar.

"Alhamdulillah, aku bersyukur kepada Allah. Engkau memang seorang ibu yang baik, Timah. Tapi tidak mengapalah, mungkin aku tidak ada rezeki untuk melihat dia. InsyaAllah, satu hari nanti." Respon Ustazah Kamariah kepada Fatimah. Sememangnya Ustazah Kamariah tidak bercadang untuk berjumpa dengan sesiapa pada hari itu. Dia hanya ingin bertanya khabar kenalannya sahaja.

"Engkau macam mana sekarang ini Yah? Semakin berseri aku tengok kau ni. Amboi, ceritalah sedikit cerita kau, asyik aku je yang cerita setiap kali kau ke sini." Fatimah cuba menukar topik perbualan mereka setelah mereka terdiam seketika. Ustazah Kamariah meletakkan semula cawan tehnya di atas meja dan membetulkan tudung labuhnya itu. Kemudian dengan muka ceria dia memberitahu khabar gembira kepada Fatimah.

"Ada, ada lupa pula aku. Sebenarnya aku datang ni nak beritahu kau tentang berita baik ni. Aku telah dinaikkan pangkat ke Penolong Kanan HEM dekat sekolah kita dulu. InsyaAllah, aku akan mula bertugas di tempat baru isnin ni." Ustazah Kamariah kemudian mengambil semula cawan tehnya lalu menghirupnya dengan perlahan-lahan. Fatimah yang mendengar berita gembira itu langsung meletakkan tangannya ke bahu Ustazah Kamariah.

"Alhamdulillah. Nisa sekarang bersekolah dekat situlah. Nanti engkau bolehlah tolong tengok-tengokkan si Nisa tu. Dia tu lain daripada yang lain. Petah berbicara dan pada masa yang sama aktif pula bersukan. Lebih kurang macam kau juga la dulu." Ustazah Kamariah kemudian mengangkat kedua-dua keningnya. Dia tidak menyangka bahawa Nisa juga bersekolah di situ.

"InsyaAllah aku akan tengok-tengokkan. lagipun anak engkau dah macam anak aku juga. Oh yela. Aku terlupa yang aku hendak beli barang-barang dapur sedikit hari ini. Sementara hari masih sejuk-sejuk panas macam ni, eloklah aku balik ke pekan dulu. Nanti dah masuk tengah hari aku boleh terus masak." Ustazah Kamariah meminta diri untuk pulang setelah menyedari jam dinding di rumah itu sudah menunjukkan jam 11 pagi. Ustazah Kamariah tinggal berdekatan dengan sekolah lamanya di pekan. Jarak rumahnya dengan rumah Fatimah mengambil masa setengah jam. Dia memang bercadang untuk membeli barang keperluan dapur sebaik sahaja dalam perjalanan pulang ke rumahnya. Justeru, sebelum masuk waktu zohor dia berharap agar dia sudah selamat pulang ke rumah.

"Oh, jaga diri baik-baik. Sampaikan salam aku kepada suami dan anak-anakmu. InsyaAllah, kalau tidak keberatan, datanglah lagi ke rumah ini. Pintu rumah ini sentiasa terbuka untuk tetamu." Fatimah sempat mengirimkan salamnya kepada keluarga Ustazah Kamariah. Ustazah Kamariah hanya mengangguk dan mengucapkan salam kepada Fatimah. Fatimah kemudian membalas salamnya dan mengiringi Ustazah Kamariah sehingga ke pintu hadapan rumah. Ustazah Kamariah kemudian masuk ke dalam kereta Kancilnya dan sebaik sahaja enjin dihidupkan, kereta itu dengan perlahan-lahan meninggalkan perkarangan rumah itu.

Setelah hampir lebih 2 minggu cuti sekolah berlangsung, akhirnya sesi persekolahan untuk setengah tahun yang seterusnya akan bermula. Terdapat beberapa orang guru yang baru telah berpindah ke sekolah Nisa termasuklah Ustazah Kamariah sebagai Penolong Kanan HEM yang baru di sekolah itu. Nisa menyemak jadual waktu kelasnya yang baru dirombak dan melihat nama Ustazah Kamariah terpapar untuk mata pelajaran Pendidikan Islam. Nisa sedih kerana guru Pendidikan Islamnya sebelum ini, Ustaz Rashidi telah menamatkan perkhidmatannya sebagai warga pendidik kerana dia berhajat untuk menyambung pelajarannya di Universiti Al-Azhar. Nisa berharap agar Ustazah Kamariah yang akan menggantikan Ustaz Rashidi nanti lebih baik dan berdedikasi.

Sebaik sahaja waktu rehat telah tamat, Ustazah Kamariah segera masuk ke dalam kelas Nisa. Ketua kelas yang menyedari ketibaan Ustazah Kamariah segera mententeramkan kelasnya dan apabila Ustazah Kamariah telah menjejakkan kakinya ke dalam kelas, semua orang di dalam kelas bangun dan menunggu arahan daripada ketua kelas. Selepas memberi salam, mereka akan bersama-sama membaca doa penerang hati dan doa sebelum belajar. Setelah itu barulah mereka duduk di atas kerusi masing-masing dan bersedia untuk pelajaran pada waktu itu.

Ustazah Kamariah memperkenalkan diri dan asal-usul dirinya kepada seluruh pelajar di dalam kelas itu. Semua pelajar termasuk Nisa mendengar cerita tentang asal-usul Ustazah Kamariah dengan begitu asyik. Nisa berpendapat bahawa Ustazah Kamariah seorang guru yang tegas tetapi pada masa yang sama seorang yang penyanyang. Di akhir cerita asal-usul itu, Ustazah Kamariah telah memberi amaran kepada pelajarnya bahawa dia tidak akan bertoleransi kepada sesiapa sahaja yang melanggar peraturan sekolah termasuklah kepada sesiapa yang tidak menyiapkan kerja rumah yang diberikannya. Saat itu, semua pelajar seakan-akan sedang menerima arahan daripada seorang komander tentera. Ustazah Kamariah menambah lagi bahawa masalah utama yang dia akan banteras di sekolah itu ialah masalah 'couple'. Sebagai penolong kanan HEM, dia mendapat mandat daripada pengetua untuk menjalankan apa sahaja tindakan yang dirasakan perlu untuk mengurangkan masalah disiplin di sekolah itu selagi tindakan yang diambil itu rasional dan tidak mencederakan pelajar.

Selesai sahaja sesi memperkenalkan diri, pembelajaran pada hari itu pun bermula. Semua pelajar khusyuk mendengar apa yang diajarkan Ustazah Kamariah. Nisa menumpukan sepenuh perhatiannya di dalam kelas dan mencatat nota kerana dia tidak mahu ketinggalan satu isi penting pun. Sebaik sahaja loceng telah berbunyi maka tamatlah pelajaran Pendidikan Islam untuk hari itu. Ustazah Kamariah sempat memberikan kerja rumah kepada pelajarnya sebelum dia mengakhiri kelas tersebut.

Pada hari pertama bertugas sebagai penolong kanan HEM di sekolah itu, Ustazah Kamariah bercadang untuk memantau keadaan di tempat menunggu pelajar di hadapan sekolah. Dia hendak memastikan bahawa tidak ada penjaja jalanan yang menjaja di kawasan itu dan juga melihat sendiri kelancaran proses pulang pelajar di sekolah itu. Ustazah Kamariah meminta izin kepada seorang pengawal wanita yang sedang bertugas ketika itu untuk berada di dalam pondok pengawal dan memantau keadaan di tempat menunggu dari situ. Sambil dia memantau keadaan di situ dia juga berbual dengan pengawal wanita yang juga berada di dalam pondok pengawal. Ustazah Kamariah mahu menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dengan baik dan pada masa yang sama dia tidak mahu mengabaikan tanggungjawab sosialnya. Kalau boleh, dia mahu mengenali semua warga kerja dan pelajar di sekolah itu.

Setelah mengetahui ramai pelajar yang telah pulang, Ustazah Kamariah bercadang untuk memantau keadaan di situ dengan lebih dekat. Dia mahu melihat tahap kebersihan dan keselamatan di situ. Hal ini penting kerana di sekolah lamanya, banyak kes penyakit berjangkit dan kemalangan telah berlaku. Justeru, dia tidak mahu perkara yang sama berlaku di sekolah barunya itu. Tambahan pula, dia pernah bersekolah di situ, jadi dia tahu benda apa yang perlu diganti dan benda apa yang perlu dinaik taraf. Semasa sedang memantau kawasan sekitar, tiba-tiba ada seorang pelajar memberikan salam kepadanya. Ustazah Kamariah pada mulanya agak terkejut dan kemudian membalas salam sebelum mengalihkan pandangannya kepada pelajar itu.

Ustazah Kamariah melihat wajah pelajar perempuan yang menegurnya tadi. Dia cuba untuk mengingat di mana dia pernah berjumpa dengan pelajar itu. Setelah menyedari bahawa pelajar perempuan itu merupakan salah seorang pelajar di dalam kelas yang diajarnya, dia lantas menanyakan nama pelajar tersebut kerana dia tidak berpeluang untuk mengetahui nama setiap pelajar di dalam kelasnya kecuali nama ketua kelas dan AJK Pendidikan Islam kelas itu sahaja. Pelajar perempuan itu kemudian memberitahu namanya kepada Ustazah Kamariah. Ustazah Kamariah sedikit terkejut kerana mengetahui bahawa pelajar yang bediri di hadapannya ketika itu adalah Nisa. Nisa kemudian menanyakan Ustazah Kamariah apa yang dia sedang lakukan di situ kerana selama ini Nisa tidak pernah melihat seorang gurupun yang pernah datang ke situ.

Ustazah Kamariah memberitahu bahawa dia sedang membuat pemantauan kebersihan dan keselamatan di situ. Nisa kemudian mengangguk tanda memahami apa yang dikatakan guru di hadapannya itu. Ustazah Kamariah kemudian menanyakan Nisa adakah dia sedang menunggu ayahnya untuk datang membawanya pulang ke rumah. Nisa menggelengkan kepala dan memberitahu bahawa abangnya akan datang mengambilnya dari sekolah setiap hari isnin, rabu dan jumaat dengan menaiki motosikal ayahnya. Manakala pada hari selasa dan khamis pula dia akan pulang sendirian ke rumah dengan berjalan kaki kerana pada hari tersebut terdapat kegiatan kokurikulum sehingga jam 5 petang. Nisa memberitahu bahawa sepatutnya abangnya sudah sedia menunggunya di hadapan sekolah tetapi pada hari itu abangnya agak lewat dan kebetulan dia ternampak Ustazah Kamariah, lantas terus menegurnya.

Ustazah Kamariah mengangguk dan memandangkan tugasnya sudah selesai, dia mengambil keputusan untuk terus berbual dengan Nisa untuk mengenalinya dengan lebih dekat. Selain itu, Nisa juga merupakan anak kenalannya, Fatimah dan dia juga disuruh untuk tengok-tengokkan keadaan Nisa semasa di sekolah. Ustazah Kamariah tidak keberatan untuk berbual dengan Nisa kerana dia merupakan seorang yang mesra dengan pelajarnya ketika di sekolah lamanya dahulu. Nisa juga selesa berbual dengan guru barunya itu. Ustazah Kamariah kemudian membenarkan di dalam hatinya apa yang pernah dikatakan Fatimah bahawa Nisa seorang yang petah berbicara sama seperti dirinya juga.

Setelah lama berbual, akhirnya Naqib tiba di perkarangan sekolah dengan motosikal ayahnya. Nisa yang ternampak kedatangan abangnya segera meminta diri untuk pulang dan menyalam tangan Ustazah Kamariah. Ustazah Kamariah hanya melihat dari jauh Nisa mendekati ke arah abangnya yang sedang duduk di atas motosikal. Ustazah Kamariah cuba untuk mengenali abang Nisa tetapi dia tidak berjaya untuk melihat wajah Naqib dengan jelas kerana Naqib ketika itu sedang mengenakan topi keledar. Sebaik sahaja Nisa mengenakan topi keledar dan naik ke atas motosikal ayahnya, Ustazah Kamariah terdengar perbualan dua orang pelajar perempuan yang sedang menunggu untuk pulang tidak jauh dari tempat duduknya.

"Bertuahnya Nisa, ada abang yang selalu jemput dia pulang macam anak raja." kata Aisyah kepada Hana yang juga sedang melihat ke arah Nisa dan Naqib. Aisyah dan Hana merupakan rakan sekelas Nisa dan juga merupakan pelajar Ustazah Kamariah.

"Aku pun naik cemburu tengok mereka berdua. Dah macam putera dan puteri aku tengok. Abang dia tu sudahlah 'handsome', baik pula tu. Aku sangat berharap dapat abang macam dia." Balas Hana yang merupakan ratu di sekolah itu. Hana sentiasa memusuhi Nisa kerana Nisa selalu melarang cara dia mengenakan tudung yang jarang dan singkat.

"Eh, kau tahu tak yang salah seorang daripada mereka sebenarnya anak angkat? Kalau aku, biarlah si Nisa tu yang jadi anak angkat." Aisyah memburukkan Nisa kepada Hana. Ustazah Kamariah yang sedang mendengar perbualan mereka tidak dapat menahan kesedihan dan cuba untuk tidak mengeluarkan air mata.

"Yelakan. Mereka berdua tu macam langit dan bumi je aku tengok. Aku tengok muka Nisa setiap hari pun naik rimas macam manalah mak bapak dengan abangnya boleh hadap muka dia hampir 24 jam." Hana yang sememangnya tidak menyenangi dengan Nisa telah melampaui batas memburukkan Nisa. Ustazah Kamariah yang menyedari akan hal itu segera menghampiri mereka dan menasihatkan mereka berdua. Dia memberitahu bahawa saudara Islam tidak boleh mengumpat atau menyakiti saudara Islam yang lain. Ustazah Kamariah kemudian menyampaikan satu hadis Rasulullah SAW yang berbunyi:

Hadis Hurairah r.a. berkata Rasulullah s.w.t. bersabda yang bermaksud:
"Janganlah kamu berdengki-dengkian, dan janganlah kamu bertipu-tipuan, dan janganlah kamu berbenci-bencian, dan janganlah kamu berbelakang-belakangan, dan janganlah setengah kamu menjual di atas penjualan setengah kamu dan jadilah kamu hai hamba Allah yang bersaudara."

Aisyah dan Hana segera menundukkan kepala mereka kerana malu apabila perbualan mereka didengari oleh Ustazah Kamariah yang juga merupaka guru Pendidikan Islam mereka. Ustazah Kamariah kemudian menegur cara Hana mengenakan tudungnya yang jarang dan singkat. Ustazah Kamariah menyuruhnya untuk menukar tudung yang lebih labuh dan tidak jarang pada esok hari dan seterusnya. Jika dia melihat lagi Hana mengenakan tudung seperti itu, dia akan mengenakan tindakan. Hari itu, Ustazah Kamariah hanya memberikan amaran terakhir kepada mereka berdua dan mengambil keputusan untuk tidak mendenda mereka berdua. Dia tidak mahu pada hari pertama dia bertugas di sekolah itu dia sudah mula mengenakan hukuman kepada pelajarnya.

Sebaik sahaja Ustazah Kamariah meninggalkan mereka berdua dan kembali ke pejabat, Hana memandang tajam ke arah Ustazah Kamariah. Dalam hati Hana tersimpan dendam yang sangat mendalam terhadap Ustazah Kamariah dan juga Nisa. Ustazah Kamariah kemudian segera masuk ke dalam tandas guru dan menatap ke arah cermin di dalam tandas itu. Dia menangis kesedihan kerana ada orang yang cuba memburuk-burukkan Nisa dan keluarganya. Hampir setengah jam dia berada di dalam tandas sebelum kembali semula ke pejabatnya.

Sejak kejadian itu, Ustazah Kamariah dan Nisa semakin rapat. Hana pula hanya mengenakan tudung labuh pada hari tertentu sahaja iaitu hari yang ada mata pelajaran Pendidikan Islam. Dia tidak mahu mendengar bebelan Ustazah Kamariah menegurnya tentang tudungnya. Setiap hari dia akan cuba mengelak daripada terserempak dengan Ustazah Kamariah. Tindakannya itu disedari oleh Ustazah Kamariah dan dia cuba untuk memperbaiki hubungannya dengan Hana. Hana hanya memberitahu bahawa dia telah buat apa yang disuruh olehnya dan pertemuan dia dengan Ustazah Kamariah hanya membuang masa. Ustazah Kamariah kemudian membenarkan Hana untuk keluar dari pejabatnya setelah menyedari bahawa Hana tidak berminat untuk berbincang dengannya.

Setelah sebulan lebih berlalu, sekolah Nisa akhirnya mengadakan hari sukan tahunan. Nisa telah menyertai acara lontar peluru dan perbarisan. Ustazah Kamariah pula merupakan jawatankuasa kesalamatan untuk acara itu. Seminggu sebelum hari sukan tahunan berlangsung, setiap petang Nisa akan menghadiri sesi latihan rumah sukan untuk acara yang disertainya. Ketekunan dan kesungguhan yang ditonjolkan menyebabkan dia telah terpilih sebagai ketua kontinjen untuk rumah sukannya. Dia berperanan dalam memastikan agar rumah sukannya dapat memenangi pingat emas untuk acara perbarisan.

Sehari sebelum berlangsung, Naqib telah berjanji dengan Nisa untuk datang dan memberi sokongan kepada adiknya itu. Naqib memberitahu bahawa dia berkemungkinan datang agak lewat kerana dia dan ayahnya akan ke pekan untuk menguruskan passport Naqib. Nisa memahami akan situasi tersebut kerana abangnya akan diterbangkan ke luar negara pada bulan hadapan. Dia berharap agar Naqib sempat melihatnya beraksi dalam acara lontar peluru. Justeru, dia akan bersabar menunggu kedatangan Naqib ke situ. Ustazah Kamariah yang ternampak Nisa seperti dalam keadaan gelisah segera menghampirinya. Dia menanyakan apa yang menyebabkan Nisa berasa gelisah. Nisa memberitahu bahawa dia sedang menunggu seseorang dan dia berasa risau jika orang itu tidak sempat melihat dia dalam acara lontar peluru kerana acara itu akan bermula tidak lama lagi.

Ustazah Kamariah kemudian menenangkan Nisa dan memberitahunya bahawa dia akan merekodkan video Nisa dalam acara itu untuk ditonton oleh keluarga Nisa. Nisa kemudian kembali ceria dan berterima kasih kepada Ustazah Kamariah kerana selalu melayannya dengan baik. Ustazah Kamariah kemudian menasihati Nisa agar tidak merisaukan tentang abangnya dan hanya fokus kepada acara yang akan disertainya nanti. Nisa kemudian mengangguk dan kembali ke tengah padang apabila menyedari acara lontar peluru akan bermula 5 minit lagi. Ustazah Kamariah mengucapkan selamat maju jaya kepada Nisa.

Acara lontar peluru pun bermula dan Nisa sedang berbaris bersama-sama peserta rumah sukan yang lain. Nisa agak bertuah kerana dia mendapat giliran paling akhir. Nisa sempat juga melihat ke arah para penyokong dan kembali menumpukan perhatiannya apabila mendapati Naqib masih lagi tidak menonjolkan dirinya. Apabila giliran Nisa pula untuk membuat lontaran, Nisa ternampak Naqib sedang melihatnya sambil mengangguk. Nisa kemudian tersenyum dan kembali serius dengan lontaran yang akan dibuatnya. Semua orang sedang menumpukan pandangan mereka terhadap lontaran yang dibuat Nisa. Apabila peluru yang dilontar Nisa telah mencecah ke tanah, pengadil datang dan membuat ukuran. Setelah itu, pengadil tadi berlari dan menyerahkan keputusan kepada pencatat markah. Semua orang sedang menanti dengan penuh sabar keputusan yang akan diumumkan nanti. Apabila selesai sahaja mencatat markah, keputusan pun diumumkan.

Nisa berjaya memperoleh pingat perak dan beza jarak antara dia dan pemegang pingat emas hanyalah 20cm sahaja. Nisa apabila mengetahui keputusan tersebut segera berlari ke arah abangnya. Ustazah Kamariah yang menyangka Nisa sedang berlari menuju ke arahnya bersedia untuk menerima pelukan daripada Nisa. Dia sempat melapangkan kedua tangannya untuk Nisa tetapi sebaik sahaja menyedari bahawa Nisa bukanlah berlari menuju ke arahnya tetapi ke arah orang yang berada tidak jauh daripadanya, dia segera merapatkan semula tangannya ke dada. Naqib yang gembira melihat kejayaan adiknya merangkul pingat perak itu bersedia untuk menerima pelukan daripada adiknya. Tetapi setelah menyedari adiknya seperti tidak dapat mengawal diri untuk berhenti lantas dia berundur sedikit ke belakang. Naqib tidak berjaya menahan badan adiknya yang sedikit gempal itu daripada berhenti lalu badannya pula menjadi mangsa apabila badan Nisa yang lebih berat berbanding dengan badannya berada di atasnya dan dia terjatuh ke atas tanah.

Nisa yang tidak menyedari bahawa abangnya yang seperti nyawa-nyawa ikan kerana menahan berat badan adiknya tidak berhenti-henti menyorak untuk dirinya. Naqib cuba untuk memberitahu Nisa agar segera mengalihkan badannya. Nisa yang baru menyedari bahawa abangnya itu sangat sukar untuk bernafas segera mengalihkan badannya. Naqib kemudian dapat bernafas dengan normal semula. Dia kemudian mendudukkan dirinya dan mengusap kepala adiknya serta mengucapkan tahniah. Ustazah Kamariah yang melihat perkara itu seperti sedang menahan marah. Dia tidak percaya Nisa akan berkelakuan sedemikian di khalayak ramai. Dia mengambil keputusan untuk berjumpa dengan Nisa selepas tamat cuti peristiwa keesokkannya.

Apabila tamat sahaja waktu mata pelajaran Pendidikan Islam, Ustazah Kamariah sempat memberitahu Nisa bahawa dia ingin berjumpa dengannya di dalam pejabat selepas tamat persekolahan. Nisa akur dengan permintaan Ustazah Kamariah. Nisa mempersoalkan perkara apakah yang ingin dibincangkan oleh Ustazah Kamariah sehingga perlu ke pejabatnya. Apabila tamat sahaja sesi persekolahan pada hari itu, Nisa segera menuju ke arah pejabat Ustazah Kamariah. Sebaik sahaja dia tiba di hadapan pintu bilik gurunya itu, dia mengetuk pintu tersebut sambil memberi salam. Kemudian terdengar suara Ustazah Kamariah dari dalam yang menyuruhnya untuk masuk.

Nisa membuka pintu bilik itu dengan perlahan-lahan kerana takut menyebabkan bunyi bising di dalam pejabat itu. Apabila dia telah masuk ke dalam bilik itu, Ustazah Kamariah yang sedang menatap komputernya menyuruh Nisa untuk duduk di atas kerusi yang disediakan. Nisa hanya mendiamkan diri menunggu perkara apakah yang ingin dibincangkan sementara Ustazah Kamariah seperti segera menyiapkan kerjanya di dalam komputer. Setelah menyelesaikan kerjanya di dalam komputer, Ustazah Kamariah kemudian mengalihkan pandangannya ke arah Nisa dan memulakan perbicaraan.

"Sebenarnya ustazah panggil kamu ni nak cakap pasal perkara yang berlaku ketika hari sukan lepas. Ustazah harap kamu dapat dengar dengan betul apa yang ustazah nak cakapkan ni." Ustazah Kamariah cuba memberitahu Nisa dengan nada selembut-lembutnya. Dia tidak mahu Nisa tersinggung lantas hubungan mereka tidak semesra dahulu seperti yang sedang berlaku antara dia dan Hana sekarang ini.

"Saya ada buat salah apa-apa ke ustazah?" Nisa mula menelan air liurnya. Dia tahu jika dia dipanggil oleh penolong kanan HEM ke dalam pejabatnya, mesti akan membincangkan soal masalah disiplin. Dia tidak pernah lagi sepanjang dia bersekolah dipanggil untuk berjumpa dengan mana-mana orang atasan di dalam pejabat. Justeru, dia mula gelisah kerana takut dimarahi ayahnya nanti.

"Kamu tidaklah buat kesalahan disiplin yang serius, cuma pada hari sukan lepas ustazah ada ternampak kamu dan seorang lelaki yang ustazah rasa mungkin teman lelaki kamu sedang menunjukkan perkara yang tidak sepatutnya dibuat di hadapan khalayak ramai. Kamu tahukan ustazah dah berulang-ulang kali di dalam kelas memberitahu..." kata-kata Ustazah Kamariah terhenti apabila Nisa menyambung kata-katanya secara tiba-tiba.

"Dalam kelas memberitahu bahawa ustazah tak suka pelajar-pelajar ustazah melakukan maksiat? Ustazah, lelaki yang ustazah maksudkan itu ialah abang saya sendiri. Saya rasa ustazah telah salah faham." Nisa cuba menerangkan bahawa dia tidak bersalah dan jauh pula daripada melakukan maksiat.

Ustazah Kamariah seperti tidak percaya apa yang dikatakan Nisa itu. Lelaki tersebut merupakan abang Nisa? Barulah dia mengetahui bahawa kata-kata Aisyah dan Hana pada tempoh hari ada benarnya, Nisa dan abangnya itu berbeza seperti langit dan bumi sehinggakan dirinya sendiri tidak menyangka bahawa mereka adalah adik beradik. Ustazah Kamariah kemudian cuba untuk memperbetulkan keadaan. Dia cuba untuk membetulkan tudung labuhnya yang sedikit tidak kemas itu. Walaubagaimana sekalipun dia masih tetap dengan pendiriannya bahawa perkara yang dilihatnya pada hari itu salah dan tidak patut dilakukan di khalayak ramai.

"Maafkan ustazah kerana tidak mengetahui bahawa lelaki itu adalah abang kamu. Tetapi pada pendapat ustazah, walaupun lelaki tersebut adalah abang kamu, kamu berdua tetap tidak boleh menonjolkan kemesraan kamu itu dikhalayak ramai kerana ustazah khuatir akan berlaku fitnah." Ustazah Kamariah cuba untuk menerangkan pendapatnya dengan lembut kepada Nisa agar dia dapat memahami apa yang cuba disampaikan olehnya.

"Ustazah jangan risau soal itu. Satu kampung tahu dia tu abang saya. Lagipun kami sentiasa bersama kemana-mana." Nisa cuba mempertahankan dirinya. Dia tahu bahawa ustazah hanya risaukan akan pandangan orang terhadap dirinya, tetapi dia juga tahu bahawa orang-orang kampung sudah terbiasa melihat kemesraan mereka berdua adik-beradik sejak kecil.

Ustazah Kamariah tetap mencuba untuk memberitahu Nisa bahawa dia perlu berasa bersalah dan menghentikan tindakan yang boleh menimbulkan fitnah itu. Hatinya mahu sahaja menyatakan perkara yang sebenarnya, tetapi dia tidak cukup kuat untuk meluahkannya.

"Tapi ustazah, takkan saya tak boleh nak berjalan dengan abang saya sendiri kan? Saya bukan buat benda-benda tak senonoh pun. Saya tahu batas-batas antara sesama adik-beradik." Nisa cuba menyakinkan gurunya yang dari tadi asyik menyalahkan dirinya tidak boleh bermesra dengan abangnya sendiri. Ustazah Kamariah kemudian secara tidak sengaja telah meninggikan suara.

"Ustazah kata kalau tak boleh tu tak bolehlah! Tindakan kamu berdua itu boleh dikatakan sumbang mahram tahu tak? Kenapa kamu susah sangat nak faham apa yang ustazah cuba sampaikan?" Ustazah Kamariah kemudian menarik nafas sedalam-dalamnya dan segera beristighfar. Dia baru sahaja telah meninggikan suaranya di hadapan pelajar kesayangannya. Dia melihat mata Nisa sudah mula memerah. Nisa kemudian keluar dari bilik itu.

Sebaik sahaja dia keluar, semua orang di dalam pejabat melihatnya. Kemungkinan suara Ustazah Kamariah yang sedikit lantang itu telah menarik perhatian orang yang berada di dalam pejabat. Nisa segera pulang ke rumah tanpa menunggu abangnya yang akan datang mengambilnya dengan motosikal. Sebaik sahaja tiba di rumah, Nisa segera masuk ke dalam bilik dan mengunci pintu biliknya. Naqib yang terkejut melihat kasut sekolah adiknya telah berada di hadapan rumah sebaik sahaja pulang daripada rumah tok penghulu untuk menguruskan soal keberangkatannya ke luar negara, segera naik ke rumah dan menuju ke arah bilik adiknya. Dia cuba untuk mengetuk bilik adiknya setelah menyedari pintu bilik tersebut dikunci tetapi tidak berbuat demikian kerana dia terdengar tangisan adiknya di dalam bilik.

Dia teringat bahawa kejadian seperti itu pernah berlaku ketika Nisa dimarahi ayahnya. Nisa mengurungkan dirinya seharian di dalam bilik dan hanya keluar apabila dia berasa lapar pada tengah malam. Naqib beranggapan bahawa kemungkinan Nisa telah dimarahi lagi oleh ayahnya apabila pulang dari sekolah lalu membiarkan sahaja adiknya itu bersendirian untuk seketika waktu. Memandangkan Nisa telah selamat sampai ke rumah, dia tidak perlu pergi ke sekolah untuk menjemput adiknya pulang. Dia teringat bahawa ibunya ada mengamanahkannya untuk menyerahkan barang kepada Mak Salmah, seorang pengusaha restoran yang terletak di pekan. Naqib segera menghidupkan enjin motosikal ayahnya dan bergerak menuju ke pekan.

Selepas menyerahkan barang yang diamanahkan itu, Mak Salmah kemudian mensedekahkan lauk pauk yang lebih kepada keluarga Naqib. Naqib mengucapkan terima kasih dan menerimanya dengan gembira. Dia melihat Mak Salmah sedang membungkus ikan bakar tiga rasa, lauk kesukaan Nisa. Lantas rasa risau di dalam dirinya hilang apabila adiknya nanti mesti tidak dapat menolak lauk kesukaannya itu. Setelah urusannya selesai di restoran itu, Naqib menuju ke arah motosikalnya. Tanpa disedari, dia telah terlanggar seoarang perempuan yang juga mahu masuk ke dalam restoran Mak Salmah itu. Dia terkejut apabila mendapati perempuan tersebut adalah perempuan yang sama yang pernah dia tolong dahulu.

Kedua-dua mereka kemudian menundingkan jari antara satu sama lain menandakan mereka berdua pernah berjumpa sebelum ini. Kedua-dua mereka kemudian tersenyum dan tertunduk malu. Perempuan itu kemudian mula menanyakan tentang tangan Naqib yang cedera ketika membantunya tempoh hari. Naqib memberitahu bahawa tangannya itu telah lama sembuh dan dia sudah boleh melakukan kerja harian dengan mudah tanpa gangguan. Perempuan itu hanya tersenyum dan mengangguk. Naqib kemudian menanyakan tentang basikal yang rosak pada hari itu, perempuan itu menjawab bahawa dia tidak mengalamai sebarang masalah dengan basikalnya itu sejak kejadian yang lepas.

Mak Salmah yang menyedari Naqib dan perempuan itu sedang berbual-bual di hadapan restorannya segera menegur mereka sambil tersenyum. Sekali lagi Naqib dan perempuan itu tertunduk malu kerana mereka berasa janggal setelah ditegur Mak Salmah. Mereka kemudian meminta diri untuk ke destinasi masing-masing. Setelah menyedari bahawa mereka berpisah tanpa memperkenalkan diri masing-masing, Naqib segera menoleh dan menanyakan nama perempuan tersebut. Perempuan tersebut menoleh semula ke arah Naqib dan memberitahu namanya tetapi disebut dahulu oleh Mak Salmah. Mak Salmah menjadi orang tengah dalam perhubungan itu dengan memperkenalkan Naqib kepada Diana dan Diana kepada Naqib. Mak Salmah kemudian menyuruh Naqib segera pulang ke rumah kerana takut lauk yang diberikannya sejuk. Naqib kemudian akur dan terus menuju ke arah motosikalnya.

Dari jauh di suatu sudut, Kesuma telah mengintip Naqib dan Diana yang kelihatan seperti sudah lama kenal di hadapan restoran Mak Salmah. Dalam hatinya tersimpan rasa tidak puas hati dan inginkan penjelasan. Sejak Naqib menerima tawaran untuk belajar ke Amerika Syarikat, dia tidak lagi berkunjung ke rumah Naqib. Kesuma kecewa dengan dirinya sendiri kerana telah berjanji dengan ayahnya untuk menyambung pelajaran ke Jordan. Tok penghulu pula berasa lega apabila Naqib akhirnya berjaya menerima tawaran untuk belajar ke luar negara dan dia tidak perlu lagi risau untuk membiayakan Naqib. Tanggungjawabnya kini hanya tinggal untuk membiayai satu-satu anak perempuannya itu.

Apabila melihat kejadian yang menyakitkan hatinya itu, dia mula merancang sesuatu agar Naqib dapat dipisahkan daripada Diana. Kesuma segera pulang ke rumahnya untuk mengatur rancangan seterusnya.

bersambung...

No comments:

Post a Comment