Tuesday, September 17, 2013

Adek =) Bab 4: Kesuma

gambar sekadar hiasan...

"Bapak nak tanya, Kesuma betul-betul ke nak pergi Jordan ni?" Tanya tok penghulu kepada anak sulungnya, Kesuma. Kesuma ketika itu sedang asyik sendirian menonton drama yang ditayangkan di kaca televisyen pada setiap hari selasa. Pertanyaan ayahnya menyebabkan dia tertunduk sebentar. Sungguh dia tidak suka untuk belajar perubatan di Jordan, tetapi disebabkan Naqib berkemungkinan juga akan menerima tawaran ayahnya itu, dia tidak mungkin akan menolaknya.

"Kesuma yakin Naqib juga akan terima tawaran itu ayah. Jadi Kesuma bertambah yakin dan percaya bahawa Jordan itu satu pilihan yang tepat." Balas Kesuma secara bersahaja dan kemudian mengalihkan pandangan untuk menonton drama di televisyen di hadapannya semula.

"Kalau itu keputusan Kesuma, ayah senanglah. Tak payah lagi ayah rungsing memikirkan kemana Kesuma hendak sambung belajar." Jawab tok penghulu apabila sebaik sahaja menghirup air kopi yang masih suam di atas meja. Dia pun tidak tahu apa kaitannya soal Naqib dengan soal sambung pelajaran di Jordan? Lain yang ditanya, lain pula yang dijawab. Dalam hati tok penghulu, ada sesuatu yang tak kena dengan anaknya itu. Kesuma yang dia kenal selama ini, bukanlah jenis yang cepat terikut-ikut. Sejak kebelakangan ini, Kesuma kerap juga berkunjung ke rumah Naqib. Hal ini menyebabkan tok penghulu mengesyaki sesuatu telah berlaku antara mereka berdua.

"Adakah mereka sedang bercinta? Ah, tidak mungkinlah. Naqib itu seorang budak yang baik. Kesuma pula tidak pernah sekali pun melayan lelaki yang minat terhadapnya. Adakah aku tersilap menilai Naqib? Astaghfirullahalazim." Tok penghulu bermonolog sendirian. Ternyata terdapat beribu persoalan yang sedang bermain di benak fikirannya ketika itu.

Setelah drama yang ditayangkan di televisyen sudah ke penghujungnya, Kesuma mengambil keputusan untuk ke kamar tidurnya. Sebelum itu, dia ada meminta kebenaran ayahnya dan mengucapkan salam. Ayahnya itu membenarkan sahaja Kesuma ke kamar tidurnya. Dia berfikiran tidak ada lagi sebarang urusan yang dia perlu bincangkan dengan Kesuma. Tambahan pula, waktu hampir sahaja menghampiri tengah malam, justeru, anak gadis tidak manis untuk masih lagi berjaga ketika itu. Kesuma masuk ke bilik air untuk menggosok gigi dan membasuh kaki sebelum tidur. Itulah yang dididik ayah dan ibunya sejak kecil lagi. Sebaik sahaja Kesuma selesai membersihkan diri dia terus masuk ke dalam bilik dan berbaring di atas katil empuknya itu. 

Seketika dia memandang ke atas syiling di biliknya. Terdapat serangga yang tertarik dengan cahaya lampu pendafluor biliknya itu. Ketika dia sedang asyik melihat serangga yang sekejap terbang sekejap hinggap di atas lampu biliknya itu, dia teringat semula pertanyaan ayahnya sebentar tadi. Dia menanyakan semula pertanyaan itu kepada dirinya sendiri. Adakah dia benar-benar sudah bersedia untuk ke Jordan? Adakah dia sudah bersedia untuk belajar ilmu agama dengan lebih mendalam di sana? Adakah dia sudi untuk menghafal dan memahami isi kandungan al-Quran sebanyak 30 juzuk itu sedangkan dia tahu bahawa dia tidak mempunyai bakat dalam membacakan al-Quran apatah lagi menghafalnya? Sungguh, dia juga keliru dengan keputusan yang dibuatnya itu.

Kemudian dia cuba memikirkan semula, kenapa dia menerima keputusan ayahnya untuk menghantarnya ke Jordan? Jawapannya mudah, dia rela untuk dihantar belajar ke Jordan kerana Naqib juga berkemungkinan akan ke sana. Dia sanggup ke mana sahaja asalkan Naqib juga bersamanya. Kemudian hatinya bertanya  lagi, adakah dia sudah jatuh cinta dengan Naqib? Persoalan ini menyebabkan dia mengimbau kenangan lampau yang menyebabkan dia telah kalah dengan pendirian yang didukungnya selama ini. Dia tidak akan jatuh cinta dengan mana-mana lelaki selagi belum memperoleh segulung ijazah. Tetapi peristiwa apakah yang menyebabkan dia menolak tepi pendiriannya itu secara total dan membiarkan sahaja dirinya hanyut dengan permainan cinta yang hanya sementara itu?

"Eh, dapat surat cinta lagi ke primadona oi... Naik 'jeles' dah aku dengan kau ni, Kesuma." Sindir Yanti, teman sepermainan Kesuma sejak kecil. Yanti juga dianggap sebagai adik beradiknya sendiri kerana ibu bapa mereka telah lama kenal sejak sebelum mereka lahir lagi. Malah, Kesuma juga merupakan adik susuan Yanti.

"Nah ambil ni. Mesti kau teringin jugak kan? Aku dah rimas dengan surat-surat yang tak berhenti-henti ni." Kesuma menarik tangan Yanti lalu memberikan surat yang baru diterimanya sebentar tadi. Yanti segera menarik tangannya dan kemudian tersenyum. Kesuma kemudian membuang surat itu ke dalam tong sampah di dalam kelasnya tanpa membaca isi kandungan surat itu terlebih dahulu. Sahri yang sedang memerhati dari luar hanya menahan pedih dalam hati. Ternyata lamarannya ditolak mentah-mentah sebelum isi hatinya itu betul-betul dibaca oleh gadis yang dia minati.

"La... kenapa kau tak baca dulu isinya? Penat sahaja orang yang menulis berharapan agar si penerima membacanya. Kau ni boleh tahan juga kejamnya juga, Kesuma." Reaksi Yanti setelah melihat surat yang diterima Kesuma itu masuk ke dalam tong sampah tanpa dibacakan isi kandungnya. Kesuma kelihatannya seperti tidak mahu melayan kerenah Yanti. Dia sudah mangli dengan teman sepermainan sejak kecilnya itu.

"Ah, bagi aku lelaki semuanya sama sahaja. Berpura-pura sayangkan kita tetapi sebenarnya mereka hanya inginkan satu saja daripada kita. Aku tidak akan goyah dengan jerat yang tampak manis di luaran itu. Lagipun aku punya pendirian sendiri. Aku tidak akan jatuh cinta selagi belum memperoleh ijazah. Itu cita-citaku Yanti." Kesuma menegaskan pendiriannya kepada Yanti. Yanti sebagai teman rapatnya memahami benar dengan kata-kata yang diluahkan Kesuma itu. Dia tahu Kesuma serius dengan setiap kata-katanya. Gadis itu punya prinsip hidup dan tidak ada sesiapapun yang boleh mempengaruhinya jika dia sudah membuat keputusan muktamad. Yanti mengambil keputusan untuk tidak lagi membincangkan hal itu dengan Kesuma. Dia tahu Kesuma juga sedang stress dengan surat-surat yang tidak berhenti mengunjungnya kebelakangan ini.

"Alang-alang kita cakap pasai lelaki ni kan, kau takkan tak ada sesiapa dalam sekolah kita ni yang kau berkenan?" Tanya Kesuma kepada Yanti apabila menyedari suasana kembali sunyi seketika. Ketika itu, semua pelajar di dalam kelas mereka telah keluar ke kantin untuk membeli makanan pada waktu rehat. Kesuma dan Yanti selalu membawa bekal dari rumah dan mereka akan makan bersama di dalam kelas sahaja.

"Sebenarnya aku ada minat dengan seorang ni. Tapi aku tak tahu kalau aku ni layak ke tak untuk dia. Mana tidaknya, aku ni biasa-biasa sahaja tak macam kau, Kesuma. Dia tu pula jaguh sukan sekolah kita. Pandai pula tu." Yanti kemudian tertunduk malu di hadapan temannya itu. Dia mengakui bahawa jika nak dibandingkan dia dengan Kesuma, tentulah Kesuma yang menang. Kesuma bukan sahaja mempunyai rupa paras yang menawan, tambahan pula merupakan pelajar harapan di sekolahnya. Jadi tidak yakinlah jika ramai lelaki yang mengagumi dan meminatinya secara diam.

"Aik, sejak bila kawan aku seorang ni dah pandai simpan rahsia dengan aku ni? Siapa dia orang yang bertuah itu? Aku janji takkan beritahu sapa-sapa." Rasa ingin tahu mula menghantui Kesuma. Lagipula, dia sedang bercakap mengenai rahsia teman sepermainannya sendiri. Mereka sudah lama berkongsi masalah dan menyimpan rahsia antara satu sama lain.

"Kau janji ya jangan bocorkan benda ni. Kalau mak bapak aku tahu, nahas aku dibuatnya. Silap haribulan aku kena nikah lepas habis SPM nanti. Ish, tak mahu la aku." Yanti mula merasa bimbang, takut-takut jika rahsianya itu menjadi pengetahuan kedua ibu bapanya. 

"Ish, cepatla.Waktu rehat dah nak habis dah ni. Nanti orang lain dengar pula. Kau ni macam tak percaya dekat aku ja. Kita ni saudara susuan. Takkanlah aku nak buat macam tu dekat saudara aku sendiri." Balas Kesuma setelah dia tidak dapat menahan lagi perasaan ingin tahunya itu.

"Yela... Sebenarnya aku minat dengan Sahri. Noktah. Puas hati sekarang?" Yanti memberi jawapan kepada semua persoalan yang bermain di fikiran saudara susuannya itu. Dia berharap agar Kesuma dapat menjaga rahsia itu dengan sebaiknya. Boleh dikatakan hidup dan matinya bersama-sama rahsia yang baru sahaja diluahkannya kepada Kesuma.

"Amboi-amboi, kau ni ada 'taste' juga ye. Aku doakan moga kau bahagialah bersama dia nanti. Biar sampai ke jinjang pelamin. Aku rasa Sahri itu budak baik. Tak ada cacat celanya dia." Kesuma memberi pendapat berdasarkan naluri wanitanya untuk Yanti. Dia merasakan Yanti terlalu merendah diri akan kebolehan dirinya. Mungkin juga Yanti terlalu membandingkan dia dengan dirinya sehingga menyebabkan kurang keyakinan diri.

"Kau ni... takkan la sampai macam tu sekali. Ah, malu aku. Mari kita bincang mengenai hal lain pula. Ingat cerita tadi tu sampai sini saja ja tau." Yanti sempat mengingatkan Kesuma akan janjinya yang dimeterai antara mereka. Kesuma kemudian mengangguk dan tersenyum. Mereka kemudian berpelukkan. Seketika itu juga loceng telah berbunyi menandakan waktu rehat telah tamat dan mereka perlu bersiap sedia untuk meneruskan pelajaran seterusnya.

Pada petang itu, Kesuma dan Yanti telah berjanji untuk ke kedai buku bersama-sama. Memandangkan peperiksaan SPM yang hanya tinggal 3 bulan lagi, Kesuma memerlukan buku latihan tambahan sebagai persediaannya menghadapi peperiksaan itu. Buku-buku latihan lamanya telah lama habis semasa peperiksaan percubaan yang lepas. Hasil penat lelahnya menelaah dan tidak jemu untuk membuat latihan berbaloi kerana dia telah dianugerahkan sebagai pelajar terbaik percubaan yang lepas. Hal itu menyebabkan semangatnya semakin bertambah untuk berusaha dengan lebih gigih lagi untuk peperiksaan yang sebenar nanti. Dia mahu memperoleh segulung ijazah yang menjadi cita-cita murninya. Hanya itu sahaja yang dapat membalas jasa kedua ibu bapanya membesarkannya sejak kecil.

Setelah selesai membeli buku yang dikehendakinya, dia menunggu di luar kedai manakala Yanti pula sedang sibuk memilih novel untuk dibacanya. Kesuma tidak mahu untuk turut serta bersama Yanti kerana baginya, dia akan terikut-ikut juga untuk membeli novel dan sudah semestinya dia akan menghabiskan novel tersebut. Justeru, bila pula masanya untuk dia menelaah pelajaran? Jadi dia mengambil keputusan untuk menunggu di luar.

Ketika sedang asyik melihat suasana di sekeliling, tiba-tiba dia terdengar satu jeritan seorang wanita meminta tolong dari arah bertentangannya. Dia segera melihat apa yang sedang berlaku sebenarnya. Rupa-rupanya anak kecil wanita tadi sudah berada di tengah-tengah jalan raya yang sibuk. Kereta yang lalu-lalang cuba mengelak daripada melanggar budak tersebut. Orang ramai yang berada di sekeliling hanya mampu melihat kejadian itu. Mereka tidak berani untuk menyelamatkan anak kecil itu kerana takut akan kereta yang laju dan tidak berhenti-henti datang dari kedua-dua arah. Sememangnya waktu ketika itu adalah waktu kritikal, waktu di mana para pekerja hendak pulang dari tempat bekerja masing-masing.

Ibu anak kecil itu tadi kelihatan seperti hendak pengsan dan dibantu oleh orang sekeliling untuk cuba menenangkannya. Anak kecilnya pula sedang terduduk di tengah-tengah jalan raya yang luas dan menangis. Barangkali dia tidak dapat mencari ibunya lalu teduduk dan menangis. Ada beberapa orang yang cuba untuk melintas jalan tersebut dan seterusnya menyelamatkan anak kecil yang malang itu tetapi tidak berjaya. Mereka hanya berdoa kepada Allah agar anak kecil itu tidak mengalami kecelakaan.

Kesuma yang melihat kejadian itu hanya mampu berdiri kaku. Dia sebenarnya berasa takut yang amat sangat dan tangannya mula menggigil. Dirinya seperti sedang dibelenggu dan tangan dan kakinya terasa seperti ais. Kemudian datang angin yang kuat di sebelahnya. Hal itu menyebabkan dia tersedar daripada paniknya dan dapat melihat kejadian ajaib yang sedang berlaku di hadapannya dengan jelas sekali. Seorang pemuda yang baru sahaja berlari melintasi di sebelahnya dengan berani telah melintasi jalan raya yang sibuk dan memeluk erat tubuh anak kecil itu. Pemandu lori yang terlihat kejadian itu sempat menekan brek dan berjaya memberhentikan kenderaannya betul-betul di hadapan pemuda itu. Orang ramai yang melihat kejadian itu seakan-akan tidak percaya apa yang sedang dilihat dengan mata kasar mereka. Sungguh, semua ini atas kehendak dan ketentuan Allah. Nyaris-nyaris sahaja nyawa pemuda dan anak kecil itu melayang jika pemandu lori itu tidak berjaya memberhentikan kenderaannya tadi.

Orang ramai kemudian mula mengerumuni pemuda tersebut. Ibu anak kecil itu dapat disatukan semula dengan anaknya. Jelas kelihatan perasaan syukur yang tidak terhingga di wajahnya. Orang lain cuba untuk memeriksa keadaan pemuda itu, jika dia mengalami sebarang kecederaan. Pemuda itu mengambil keputusan untuk segera pulang kerana bimbang akan hari yang mulai menemui senja. Setelah ibu anak kecil itu berterima kasih kepadanya, dia segera meminta diri dan menolak pemberian wang daripada ibu anak kecil itu. 

Kesuma cuba mengecam wajah pemuda itu tetapi tidak berjaya kerana pemuda itu dikeremuni oleh orang ramai di sekeliling. Kemudian dia terkejut apabila seorang perempuan yang lebih muda daripadanya sedang menjerit memanggil abangnya. Kesuma beranggapan bahawa pemuda itu merupakan abangnya. Dia kemudian menanyakan perempuan di sebelahnya itu nama abangnya. Perempuan itu hanya menjawab Naqib. Kesuma cuba mengingat akan nama itu. Adakah dia pernah mendengar nama lelaki itu di sekolah? Kemudian pemuda yang telah menyelamatkan anak kecil itu datang menghampiri adiknya dan ketika itu Kesuma dapat melihat dengan jelas wajah pemuda yang bernama Naqib itu.

Sebaik sahaja melihat wajah Naqib barulah dia teringat ketika majlis penyampaian anugerah cemerlang pada 2 minggu yang lepas. Kesuma telah terpilih sebagai pelajar terbaik percubaan SPM kerana dia telah berjaya menjadi pelajar terbaik untuk kesemua subjek yang diambilnya kecuali satu. Subjek biologi ketika itu berjaya dirampas oleh seorang pelajar lelaki yang begitu asing kepadanya. Dia hanya samar-samar mendengar nama pelajar lelaki tersebut kerana tepukan gemuruh telah menyebabkan suara pengerusi majlis turut tenggelam bersama. Tetapi dia tidak melupakan wajah pelajar lelaki yang berjaya merampas tempatnya sebagai pelajar terbaik untuk subjek biologi itu. Ternyata dia tidak pernah terserempak atau ternampak pelajar itu di mana-mana kawasan sekolah. Kesibukannya menelaah pelajaran dan tidak jemu untuk berkunjung ke bilik guru untuk menanyakan soalan menyebabkan dia tidak peka dengan apa yang sedang berlaku di sekolahnya. 

Pada hari itu dia telah terpukul dengan kekalahannya sendiri apabila seorang pelajar lelaki yang tidak dikenalinya telah berjaya merampas 'title' pelajar terbaik untuk subjek kesukaannya. Kesuma kemudian tersedar daripada lamunannya apabila Yanti menggocang tubuhnya beberapa kali setelah penat memanggil nama Kesuma namun dia tidak memberikan sebarang respon. Orang disekeliling telah lama bersurai. Naqib dan adiknya, Nisa juga sudah tidak kelihatan lagi.

Sejak peristiwa itu, Kesuma tidak dapat tidur dengan nyenyak kerana terlalu memikirkan Naqib. Pendiriannya selama ini akhirnya menemui jalan kesudahannya. Dia sudah jatuh cinta dengan pemuda yang bernama Naqib itu. Setiap hari dia mengelamun tentang Naqib dan Yanti menyedari perubahan Kesuma itu. Yanti cuba menanyakan apa yang sedang berlaku tetapi Kesuma tidak mahu menceritakan perkara yang sebenar kerana takut dilabel sebagai seorang yang tidak berpegang teguh dengan pendirian sendiri. Setiap hari juga ketika waktu rehat, Kesuma akan cuba mengintip Naqib dari jauh. Dia mendapati Naqib seorang lelaki yang baik dan berperibadi mulia.

Perasaannya itu dipendam sehinggalah peperiksaan SPM telah tamat. Ketika itu, dia mengambil keputusan untuk menulis sebuah warkah untuk Naqib. Dalam warkah itu dia memberitahu bahawa dia sudi untuk menjadi isteri kepada Naqib dan pada masa yang sama menyoalkan kesudian Naqib untuk menerimanya sebagai isterinya. Setelah hampir sebulan menunggu jawapan daripada Naqib dengan penuh sabarnya, akhirnya dia berpendapat bahawa cintanya telah bertepuk sebelah tangan. Barulah dia dapat merasa pedih hati orang yang ditolak cintanya. Selama ini dia dengan tidak ada perasaaannya telah menolak pelawaan daripada orang yang meminatinya. Hari itu dia pula yang merasa sakitnya. Itulah yang dikatakan hidup ibarat roda. Apabila kita di atas, kita harus ingat bahawa satu hari nanti kita akan berada di bawah.

Kesuma tidak berputus asa untuk memenangi hati Naqib. Pelbagai percubaan telah dilakukannya tetapi tidak ada satupun yang membuahkan hasil. Tawaran bapanya untuk membiayai pembelanjaan Naqib untuk ke Jordan menyebabkan dia tidak boleh melepaskan peluang keemasan itu. Kesuma berpendapat jika dia terus mencuba lama kelamaan Naqib akan nampak semua usahanya itu dan akhirnya cintanya akan terbalas juga kerana lelaki baginya sama sahaja semuanya. Mereka hanya inginkan satu benda sahaja daripada wanita.

Tetapi dia tidak menyedari bahawa terdapat satu ayat al-Quran yang diterangkan ustaznya untuk pelajaran bab perkahwinan dalam Pendidikan Islam. Ayat al-Quran itu adalah daripada surah An-Nur ayat yang ke 26:

(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.

Sekiranya dia tersedar bahawa lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik juga, nescaya dia tidak menjadi gila bayang begitu. Ternyata hatinya telah digelapi dengan mainan cinta oleh syaitan. Untuk memiliki lelaki sebaik Naqib, dia juga hendaklah memperbaiki diri sendiri untuk menjadi perempuan yang baik juga. Apabila dia telah menyedari hakikat bahawa soal jodoh di tangan Allah, dia tidak lagi mengejar Naqib kerana dia yakin akan ketentuan Allah terhadapnya. Manusia itu matlamatnya adalah untuk mencapai redha Rabnya bukan sekadar hanya masuk ke syurga sahaja. Apabila redha Allah dapat dicapai, seseorang manusia itu tidak kisah lagi ke mana dia akan kembali di sisi Allah kerana itulah hubungan Tuhan dengan makhluknya yang telah mencapai tahap maksimum. Saat itu dia akan menemui Allah dengan penuh hormatnya.

bersambung...

2 comments:

  1. Azeem, ish. Tak suka betullah baca mcm ni..Tengah -tengah syok nak feeling dengan imagination bagai, tiba2.. To be continue....

    Lagi dan lagilah..

    study molek azeem.
    Aku sabar menunggu :D

    Nice!

    ReplyDelete
  2. orait... haha... stakat ni ok2 ja kan cita aku ni... aku takut org cepat boring ja... btw... thanx for your support...

    ReplyDelete