Wednesday, September 4, 2013

Adek =) Bab Prolog

gambar sekadar hiasan... =)

"Adek, kalau abang dah tak ada nanti, adek janji ye... adek akan jaga mak dengan ayah baik - baik tau". Sayup mata Naqib memandang Nisa yang asyik termenung memandang sungai yang mengalir perlahan.

"Abang jangan cakap macam tu. Kalau abang dah tak ada, adek ikut abang juga."

Naqib memandang ke arah langit yang membiru lagi mendamaikan lalu menarik nafas dalam-dalam. Sungguh nyaman udara yang disedutnya. Kemudian dia mengalih pandangannya semula ke arah satu-satu adiknya itu.

"Ish, mana boleh macam tu. Nanti mak dengan ayah tak ada sapa nak jaga? Nanti mesti mak dengan ayah akan sedih. Adek sanggup kalau melihat mak dengan ayah sedih?"

Nisa menggelengkan kepalanya yang bertudung bawal itu. Dia akui bahawa dia juga tidak sanggup melihat ibu dan bapanya kesedihan. Dia menyedari bahawa keluarga mereka kecil namun itu bukanlah bermakna mereka tidak bahagia. Dia bersyukur mempunyai seorang ibu yang pengasih, seorang ayah yang bertanggungjawab dan juga seorang abang yang sentiasa membelanya. Kemudian suasana menjadi sunyi seketika... angin petang ketika itu amat menyamankan. Nisa tertunduk melihat ke arah sungai semula. Kelihatan labah-labah air sedang menyelesuri sungai itu. Mereka berdua asyik melihat makhluk sungai itu.
Sesungguhnya ciptaan Allah itu sangat unik.

Tanpa disedari, matahari di ufuk timur hendak melabuhkan tirainya. Sang burung mulai terbang berkumpulan kembali ke sarang masing-masing. Sekejap lagi azan maghrib akan berkumandang. Naqib yang menyedari hakikat itu terus bangun dan mengajak adiknya itu pulang ke rumah. Ibunya ada memesan, kalau hendak keluar rumah, pastikan pulang sebelum senja. Jika difikirkan semula, ada benarnya nasihat ibunya itu. Mereka harus bersiap sedia untuk solat berjemaah di surau.

Sesampainya mereka di halaman rumah, Naqib terlihat ayahnya yang baru pulang dari pekan dengan menaiki motosikal yang sudah berusia lebih dua dekad itu. Dia menyedari sejak kebelakangan ini, ayahnya itu sering sahaja pulang lewat ke rumah. Ada juga dia menanyakan hal itu kepada ibunya. Ibunya hanya menjawab ayahnya itu sedang berusaha mencari wang lebih untuk perbelanjaannya melanjutkan pelajaran ke menara gading lima bulan lagi. Sungguh, dalam hatinya terdetik rasa kasihan akan ayahnya itu. Sudahlah usia menjangka separuh abad lebih, terpaksa pula berkerja siang dan malam semata-mata mencari wang lebih agar dia boleh melanjutkan pelajaran seperti rakan-rakannya yang lain.

Seraya itu dia memberi salam kepada ayahnya itu. Ayahnya hanya tersenyum hambar dan mengangguk. Dia memahami bahawa ayahnya itu barangkali kepenatan setelah berhempas pulas di pekan. Tatkala itu, azan maghrib pun berkumandang. Naqib segera ke bilik air untuk membersihkan diri dan mengangkat wuduk. Selalunya, mereka sekeluarga akan ke surau untuk menyertai solat berjemaah bersama-sama orang kampung yang lain. Tetapi, sejak ayahnya yang sering pulang lewat ke rumah, hanya mereka bertiga sahaja, ibunya, Nisa dan dirinya. Hari ini dia senang kerana ayahnya dapat ikut serta bersama mereka.

Imam surau telah membacakan surah Al-Fatihah dengan merdu sekali kemudian beliau membaca surah Ar-Rahman pula. Terdengar suaranya sedikit tersekat-sekat kerana tidak dapat menahan rasa sebak apabila ayat yang ke 13 surah itu dibacakan yang bermaksud:

"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?"
Para makmum pula hanya tunduk dan kusyuk mendengar bacaan imam surau itu. Sesungguhnya memang ternyata benar apa yang diturunkan Allah melalui perantaraan Jibril kepada Muhammad SAW 1400 tahun lebih dahulu.

Usai selesai solat berjemaah, selalunya, Naqib dan ayahnya akan duduk di surau hinggalah menjelang isyak manakala ibunya dan Nisa akan pulang ke rumah dan mereka berdua akan solat berjemaah bersama di rumah. Perantaraan waktu antara maghrib dan isyak itu selalunya ada sesi halaqah atau mesyuarat jawatankuasa surau atau kampung berlangsung di surau. Pada malam itu, kebetulan imam surau ingin mengadakan mesyuarat surau membincangkan sesiapa yang ingin menggantikan tempatnya apabila dia mengerjakan haji pada bulan depan nanti.

Naqib yang  tiada kaitan dengan mesyuarat itu hanya tunggu di anjung luar surau. Di situ dia bersama-sama dengan rakan-rakan seusianya membuat bulatan dan mereka akan berbual mengenai pelbagai hal. Sahri, sahabatnya sejak di bangku sekolah rendah lagi, mengkhabarkan bahawa dia akan melanjutkan pelajaran ke luar negeri dua bulan dari sekarang. Naqib yang sedikit terkejut mendengar berita itu, lalu mengucapkan tahniah kepada satu-satunya sahabat rapatnya itu. Baginya, berita itu memang mengejutkan dan dia tidak sangka bahawa sahabatnya itu akan pergi menjejak kaki ke negara asing dalam masa secepat itu. Dalam hatinya memanjat kesyukuran ke hadrat Ilahi dan tumpang gembira atas kejayaan Sahri. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu?

Sahri kemudian menanyakan Naqib di manakah dia akan melanjutkan pelajaran? Setahu dia, Naqib merupakan salah seorang pelajar cemerlang di sekolah mereka. Semua guru menyenangi sikapnya yang bersopan-santun dan rajin itu. Tetapi di sekolahnya itu ada yang lagi bijak daripada mereka berdua. Kesuma nama diberi. Kesuma merupakan anak penghulu kampung itu. Seorang yang agak bergaya dan memiliki wajah yang cantik bak seorang primadona. Ramai rakan-rakan Naqib termasuk Sahri telah jatuh hati kepada Kesuma. Namun Kesuma tidak mengendahkan mereka semua. Kesuma hanya tertarik kepada Naqib yang berperibadi mulia dan berbudi bahasa.

Pernah sekali, ketika berakhirnya peperiksaan SPM, Kesuma ada menuliskan warkah untuk Naqib bahawa dia sudi untuk menjadi isterinya yang sah. Naqib merasakan bahawa perkara itu seperti terlalu awal untuk difikirkan malah kalau boleh dia ingin berkerjaya dahulu baru hendak memikirkan soal nikah. Untuk berkerjaya mestilah berkelulusan ijazah dahulu. Justeru, fokusnya ketika itu hanyalah memikirkan ke mana dia hendak melanjutkan pelajaran. Dia mengendahkan sahaja warkah Kesuma itu. Kesuma yang menyedari bahawa hasratnya telah bertepuk sebelah tangan lalu dia berusaha keras untuk memenangi hati Naqib.

Pelbagai usaha telah dilakukan Kesuma untuk merebut hati Naqib. Pernah juga Kesuma menziarahi rumah Naqib dengan memperagakan busana indah yang dihadiahkan ayahnya ketika memperoleh keputusan cemerlang dalam percubaan SPM. Usahanya itu tidak menguntungkan mana-mana pihak kerana Naqib tiada di rumah ketika itu kerana dia menemani adiknya, Nisa untuk membeli barang-barang keperluan sekolah untuk tahun hadapan. Begitulah apa yang dikatakan orang pisang yang ditanam tidak berjantung.

Ayah Kesuma kalau boleh berhajat ingin menghantar anaknya itu belajar ilmu perubatan di Jordan. Namun, hajat ayahnya itu ditolak mentah-mentah apabila dia memikirkan yang dia perlu belajar ilmu agama dan menghafal al-Quran apabila berada di sana. Cukuplah apabila dia sering dimarahi ustazah kerana bacaan al-Quran yang tidak betul tajwid dan mahkrajnya. Tidak sanggup dia mengalami pengalaman pahit itu sekali lagi di negera Arab yang barakah itu. Justeru, dia bertekad untuk mengikuti kemana sahaja Naqib ingin menyambungkan pelajarannya. Begitulah hati manusia jika telah digelapi oleh cinta yang rapuh, semua benda yang berkaitan dengan agama dilihat tidak cocok lagi. Soal cinta pula yang menjadi sang pengubat hati.

Bersambung...

4 comments:

  1. woahh!! sangat okay dan menarik... sebagai pembaca, kite menanti-nantikan permasalahan yang akan timbul, klimaks dan seterusnya. Even it's just the beginning tapi sudah menimbulkan tanda tanya yang banyak. ceyh. hik hok hik hok :P teruskan azeem! nanti compilekan buat novel.. kite tak pandai sangat bab penulisan cerita tapi i can give u 4/5 star. as 1 star lagi utk kesinambungannya. haha :)

    ReplyDelete
  2. Nice azeem! Org atas dah komen. shh tu classmate kita kan? Siapa dia sebenarnya? Haha

    ReplyDelete