Sunday, September 8, 2013

Adek =) Bab 2: Naqib

gambar sekadar hiasan =)

"Abang, tadi tok penghulu datang ke rumah, dia nak apa bang?". Tanya Nisa sebaik sahaja melihat abangnya, Naqib masuk ke dapur untuk makan. Ketika itu, dia telahpun selesai makan tengah hari dan menolong ibunya pula mencuci pinggan di sinki.

Naqib yang sedang berselera melihat lauk pauk yang terhidang terus hilang seleranya apabila Nisa menanyakan tentang tok penghulu. Dia mengambil pinggan lalu mencedok nasi di dalam periuk. Nasi yang putih bersih lagi panas itu memang meliurkan sesiapa sahaja yang sedang kelaparan ketika itu. Kemudian dia tersedar bahawa Nisa masih menunggu jawapan daripadanya.

 "Tok penghulu nak 'sponsor' abang adek. Pergi Jordan belajar 'medic'". Naqib hanya menjawab perlahan dan kemudian mencedok ayam goreng masak halia dan sayur kangkung ke pinggannya.

Nisa yang mendengar jawapan itu terus mengangkat kedua-dua keningnya. Nyata dia juga terkejut dengan jawapan yang keluar daripada mulut abangnya itu. Dia terdiam seribu bahasa. Bunyi air paip yang mengalir ke dalam sinki menyebabkan dia segera menyambung kerja yang di arahkan ibunya itu.

Naqib memahami benar perangai adiknya itu. Mereka berdua tidak pernah berpisah sejak kecil. Mereka berdua boleh dikatakan seperti belangkas walaupun sebenarnya mereka hanyalah saudara seibu. Ayah kandung Naqib telah meninggal dunia ketika Naqib masih berusia lima bulan di dalam kandungan ibunya. Atas nasihat nenek sebelah ibunya, ibunya itu mengambil keputusan untuk berkahwin lain sebaik sahaja selesai tempoh berpantang. Sesungguhnya Naqib memerlukan seorang ayah dan ibunya memerlukan seorang suami untuk bersama-sama membesarkannya.

 Muhammad Naqib Ashraff bin Ahmad. Ternyata nama bapa mereka berbeza. Ayah Naqib bernama Ahmad manakala Nisa pula Syukri. Suatu hari, adiknya Nisa pernah menanyakan ibunya mengapa mereka diberi nama sebegitu. Ketika itu, Naqib juga ada bersama-sama mendengar perbualan Nisa dan ibunya itu. Selama ini, dia tidak pernah menyoalkan maksud namanya dan mengapa dia diberi nama sedemikian. Mungkin kerana dia merasakan tidak ada yang istimewa berkenaan namanya itu. Semua seperti biasa-biasa sahaja.

"Eh, mestila ada sebab kenapa mak bagi nama macam tu kat anak-anak mak. Kamu berdua ni kenalah tahu maksud nama dan kenapa nama kamu macam tu." Respon ibunya, Fatimah kepada Nisa yang ketika itu baru berusia 10 tahun dan Naqib pula berada di Tingkatan 2.

Menurut ibunya, nama Naqib itu bermaksud yang menjamin. Ketika ayah kandungnya meninggal dunia, ibunya, Fatimah telah kehilangan tempat bergantung. Ibunya itu mengalami stress yang melampau dan asyik murung di dalam bilik. Menurut ibunya, Naqib hampir-hampir sahaja tidak dapat melihat dunia kerana kondisi ibunya yang meruncing ketika itu. Neneknya yang ketika itu berasa simpati dengan keadaan kandungan ibunya itu, menasihatkan agar ibunya itu segera mencari pengganti suami. Sekurang-kurangnya ada yang dapat menjaga dan prihatin akan kandungan ibunya itu kerana neneknya itu tinggal berasingan dan jauh pula dengan rumah ibunya ketika itu.

Ibunya pada mulanya berdegil dan merasakan tidak ada seorang pun yang dapat menggantikan suaminya yang telah pergi meninggalkan dunia yang fana ini. Tetapi setelah difikirkan semasak-masaknya akan kondisi kandungannya ketika itu, dia akhirnya bersetuju juga untuk menikah lain. Lalu berhajat untuk memberi nama anaknya Naqib setelah mengetahui jantina anaknya itu. Naqib yang menjadi penjamin kepada kebahagiaan ibunya. Sesungguhnya syurga seseorang anak itu terletak di bawah telapak kaki ibunya dan tanggungjawab seorang lelaki itu ada dua, mentaati ibunya dan menjadi ketua keluarga.

Nama Ashraff pula bermaksud yang mulia. Telah menjadi harapan ibunya itu agar anak lelaki sulungnya itu dapat menjadi seorang yang berperibadi mulia apabila dia besar nanti.Tidak ada hadiah yang terbaik buat ibu bapa melainkan doa anak yang soleh ketika mereka masih hidup dan selepas mereka meninggal dunia. Hal ini diterangkan dalam hadis baginda SAW:

Dari Abu Hurairah r.a. katanya : Bersabda Rasulullah s.a.w. :
"Apabila seseorang telah meninggal dunia putuslah segala amalannya kecuali tiga, sedekah jariah, atau ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya.
Hadis sahih riwayat Muslim
Sesungguhnya ibunya bersyukur dan beruntung melahirkan Naqib kerana anaknya itu merupakan satu anugerah yang tidak ternilai daripada Rabbul Izzati kepadanya. Perangai kedua-dua anaknya itu sentiasa menyenangi hatinya. Naluri ibunya menyatakan bahawa dia dan suaminya telah memberikan didikan yang sempurna untuk kedua-dua anaknya itu. Tidak lama lagi tibalah giliran anak-anaknya pula menjaganya pula. Alangkah beruntungnya seorang ibu dan seorang bapa memiliki anak-anaknya yang soleh dan solehah. Syurga Allah itu menanti untuk kedua-duanya.

Naqib ketika masih kecil telah jelas kepintarannya. Dia sudah boleh bercakap dengan fasih ketika berusia seawal 4 tahun. Selain itu, dia juga telah khatam al-Quran ketika berumur 7 tahun. Nisa pula khatam pada usia 9 tahun, 2 tahun lambat daripada abangnya. Di sekolah, Naqib merupakan seorang yang pendiam dan semua guru yang mengajarnya berusaha untuk membantunya untuk aktif di dalam kelas. Sikap ini berbeza sekali dengan Nisa yang amat terkenal dengan kepetahan bercakap sejak dari sekolah rendah. Malah dia juga telah terpilih untuk mewakili sekolah dalam pertandingan pidato dan bahas.

Masalah Naqib itu pernah disuarakan guru kelasnya kepada ibunya. Tidak sekelumit pun rasa risau bertandang ke dalam hati ibunya itu kerana ibunya sangat kenal dengan sikap anaknya itu. Naqib menjadi pendiam apabila berada di sekolah tetapi sebaik sahaja di rumah, Naqib dapat berbicara seperti biasa. Malah ibunya tidak merasakan anaknya itu seorang pendiam. Naqib suka bermain dengan Nisa di halaman rumah dan kadang-kadang di sawah bendang. Orang-orang kampung yang berjumpa dengan ibunya banyak menyatakan bahawa mereka seronok melihat telatah dua beradik itu bermain di sawah bendang. Justeru, hal yang disuarakan guru kelas Naqib itu tidak menimbulkan rasa risau sedikit pun malah dia tersenyum dan memberitahu kepada guru kelas Naqib bahawa anaknya itu tidak pernah ada seorang kawan untuk berbual dengannya melainkan adiknya. Nisa sahaja.

Ketika berada di darjah 6, Naqib selalu diganggu oleh Sahri. Guru kelas mereka pusing kepala memikirkan masalah antara Naqib dan Sahri. Boleh dikatakan mereka tidak boleh berada di dalam kelas yang sama. Lalu guru kelas mereka mengambil keputusan untuk memindahkan salah seorang daripada mereka ke kelas sebelah. Setiap seorang daripada mereka telah disoal siapakah di antara mereka yang mahu pindah ke kelas sebelah. Ternyata Sahri dengan egonya mengatakan bahawa Naqiblah yang sepatutnya dipindahkan. Apabila ditanyakan Naqib, dia hanya mengikut sahaja apa keputusan yang akan diputuskan gurunya itu. Akhirnya keputusan telah dibuat. Naqib terpaksa dipindahkan ke kelas sebelah bagi menjamin keharmonian pelajar-pelajar lain yang mahu belajar.

Sejak itu tidak ada lagi laporan mengenai pertengkaran antara mereka. Setelah satu masalah selesai, masalah lain pula muncul. Disebabkan sikap Naqib yang bertanggungjawab dan berperibadi mulia itu, dia dilantik menjadi ketua kelas yang baru menggantikan Amin yang telah menjadi ketua kelas sebelum itu. Amin terkenal dengan sikap suka mengarahnya dan tidak mahu bertanggungjawab jika dia melakukan kesalahan. Jauh di satu sudut hati Amin, syaitan telah memainkan peranannya menghasut untuk membatu apikan Naqib. Sejak itu Amin hanya berpura-pura melayan Naqib dengan baik tetapi sebenarnya dia telah menyimpan hajat untuk menjatuhkan Naqib. Hanya soal masa sahaja tidak mengizinkannya.

Apabila Amin merasakan dia tidak tahan lagi menjadi orang bawahan dan diarah, dia telah mengambil keputusan untuk berkomplot dengan Sahri, musuh azali Naqib untuk memalukan Naqib. Sahri yang sememangnya tidak menyenangi Naqib sejak dulu bersetuju dengan ajakan Amin untuk berkomplot. Rancangan mereka mudah. Mereka cuba untuk memancing Naqib untuk ke sungai di belakang sekolah. Setelah itu mereka akan cuba melemaskan Naqib dengan menolaknya jatuh ke dalam sungai yang mengalir deras itu. Namun mereka tidak mengetahui bahawa Allah SWT telah melihat dan mendengar akan semua yang dirancang mereka itu. Allah SWT telah berfirman dalam al-Quran surah al-Imran ayat 54:

“Dan Mereka Merancang(tipu daya), Allah juga merancang(membalas tipu daya), Dan ALLAH sebaik-baik Perancang(membalas tipu daya)”

Ayat tersebut telah jelas kepada kita bagaimana rapi dan hebatnya urusan perancangan Allah SWT demi untuk membatalkan urusan rancangan tipu daya kafir quraisy. 

Amin telah memberitahu Naqib bahawa Sahri ingin berbaik semula dengannya tetapi dia malu untuk bersemuka secara terang. Dia menambah, Sahri ingin menemuinya di tepi sungai belakang sekolah sebaik sahaja tamat aktiviti kokurikulum. Bukan itu sahaja, Amin telah memberitahu Naqib bahawa dia telah berjanji untuk memenuhi permintaan Sahri itu. Naqib mula berasa pelik kerana Sahri yang selama ini hendak berkelahi dengannya, tiba-tiba hari itu berubah hati untuk berbaik semula. Satu yang sangat luar biasa! Tetapi yang dikatakan Naqib, seorang insan yang lurus hatinya, dia tidak terfikir pun yang Amin dan Sahri telah berkomplot untuk mendajalkan dia. Malah dia berterima kasih kepada Amin kerana telah mengkhabarkan berita gembira itu. Sudah lama dia menunggu saat di mana Sahri dan dia akan berbaik semula. Dia tidak menyangka saat itu adalah petang nanti, di tepi sungai belakang sekolah.

Setelah tamat sahaja perjumpaan kelab matematik, Naqib terus menuju ke arah sungai belakang sekolah. Amin dan Sahri yang melihat Naqib dari jauh hanya mampu tersenyum. Rancangan mereka untuk melemaskan Naqib sudah menunjukkan satu reaksi yang positif. Naqib telah menunggu di tepi sungai hampir setengah jam lamanya namun kelibat Sahri tidak juga kelihatannya. Mahu sahaja dia beransur pulang kerana kemungkinan ibunya telah risau akan kelewatannya pulang ke rumah. Tetapi dia sudah bertekad. Takkan fasal seorang muslim yang ingin bersaudara dia tidak mahu berkorban sedikit pun. Menyambung talian silaturrahim itu kan satu perkara yang mulia di sisi Islam. Justeru, dia mengambil keputusan untuk tunggu setengah jam lagi di situ.

Amin dan Sahri yang menyorok di sebalik semak samun mengintai Naqib dari jauh. Mereka berdua tersenyum kerana rancangan mereka telah sampai ke kemuncaknya. Amin yang terkenal dengan sifat mengarahnya itu telah mengarah Sahri untuk segera menghampiri Naqib. Sahri akur lalu mendekati Naqib yang sedang berdiri di tepi sungai yang sedang mengalir deras itu. Naqib yang terkejut dengan kedatangan Sahri segera memalingkan wajah ke arahnya. Sahri telah meminta maaf kepada Naqib akan perilakunya menyebabkan Naqib terpaksa dipindahkan kelas. Ternyata Naqib dengan mudah telah memaafkan Sahri dan mereka akhirnya berpelukan dan bersalaman. Amin yang sudah melihat isyarat yang diberikan Sahri memahami apa yang patut dilakukan seterusnya. Sahri ketika itu telah memegang erat badan Naqib agar Naqib tidak dapat melarikan diri. Amin segera menghampiri mereka dan mereka akan bersama-sama untuk cuba menolak Naqib jatuh ke sungai. Namun, sebaik sahaja Amin datang membantu, secara tidak semena-menanya dia telah tergelincir dan dengan tidak sengaja telah tertolak Sahri  yang ketika itu sudah hampir menarik Naqib jatuh ke sungai. Di takdirkan Allah SWT, tangan Sahri menjadi licin dan terlepas daripada genggamannya daripada badan Naqib lalu dia terjatuh ke dalam sungai yang mengalir deras itu. Sahri yang tidak pandai berenang itu terkapai-kapai di bawa arus yang seperti menggila itu. Dia meraung-raung memanggil Amin untuk membantunya.

Amin yang melihat kejadian itu terkaku seketika dan hanya mampu melihat Sahri yang seperti nyawa-nyawa ikan terkapai-kapai di bawa arus. Dia akhirnya mengambil keputusan untuk segera melarikan diri kerana takut dipertanggungjawabkan atas kematian Sahri nanti. Naqib yang melihat Amin melarikan diri itu terus terjun menyelamatkan Sahri yang ketika itu sudah jauh hanyut meninggalkannya. Orang berhampiran yang terdengar raungan Sahri itu segera menghampiri kawasan kejadian. Mereka tidak dapat melihat apa-apa kerana arus yang mengalir deras setelah selesai hujan lebat itu telah melindungi tubuh badan Naqib dan Sahri. Mereka menyangka bahawa kedua-duanya telah lemas dan tidak dapat diselamatkan. Namun Allah itu Maha Penyanyang, setelah hampir 15 minit mereka menunggu akan munculnya kelibat dua orang itu, akhirnya badan Naqib timbul bersama-sama Sahri yang tidak menyedarkan diri. Mereka segera menghulurkan ranting dahan yang besar ke arah mereka berdua lalu Naqib berjaya memaut ranting tersebut setelah beberapa kali cubaan akibat cuba mengatasi rintangan arus yang deras.

Sahri berjaya dinaikkan ke darat dan telah diberikan rawatan kecemasan oleh penduduk setempat yang mahir. Akhirnya Sahri dapat membuka matanya setelah memuntahkan air sungai yang termasuk di dalam paru-paru dan perutnya. Sebaik sahaja sedar, penduduk di situ mengucapkan alhamdulillah dan membawa Sahri ke pusat rawatan terdekat. Sebelum itu, Sahri ternampak Naqib yang terduduk kepenatan dan basah kuyup melihat dia di bawa oleh orang kampung. Dia menanggap mungkin Naqib telah mengalami nasib yang sama sepertinya, terjatuh ke dalam sungai setelah ditolak oleh Amin. Dia pula akan mencari Amin selepas pulih nanti untuk menyelesaikan hutang yang tertangguh. Budak tak guna itu telah meninggalkannya saat dia hampir-hampir sahaja tidak dapat melihat dunia lagi. Walhal dialah yang beria-ria sangat mengajaknya untuk berkomplot. 

Peristiwa Sahri lemas dilaporkan sebagai kemalangan oleh Naqib. Tindakan Naqib itu telah menyelamatkan Sahri daripada dibuang sekolah dan menyebabkan bertambah benci kepadanya sahaja. Sahri yang sedang menjalani rawatan pemulihan di hospital telah mendengar mengenai laporan Naqib yang menyatakan dia telah kemalangan. Ternyata dia juga merasa takut jika tembelangnya pecah dan dia akan dibuang sekolah akibat tindakannya itu. Bukan itu sahaja, dia juga kemungkinan akan dipukul pula oleh ayahnya. Sedikit sebanyak dia berterima kasih juga kepada Naqib kerana telah menutup aibnya. Namun perasaan benci di dalam hatinya masih bersisa. Tidak mungkin dia dan Naqib akan berbaik semula setelah kejadian itu. Dia mempersoalkan mengapa dia perlu bergaduh dengan Naqib pada mulanya. Baru dia ingat, Naqib secara tidak sengaja telah tertukar kasut sekolah dengannya. Sejak itu, dia melabel Naqib sebagai orang miskin tak tahu malu dan sejak itu juga pertengkaran antara mereka bertambah hebat sehinggakan Naqib terpaksa dipindahkan kelas. Bila difikirkan semula, betapa dia kesal kerana membangkitkan hal seremeh itu sehinggakan menimbulkan pergaduhan. Naqib pula asyik beralah sahaja kepadanya dan tidak pula cuba untuk melawan malah sehingga sekarang masih cuba mempertahankan dirinya. 

Dia berasa sedikit kesal kerana tidak memaafkan sahaja kesalahan Naqib itu. Jika dia dan Naqib tidak bergaduh sejak dulu, mesti dia tidak akan berhadapan dengan situasi seperti ini. Sesungguhnya Allah telah mengurniakan sedikit hidayahnya kepada Sahri untuk berubah. Hanya tinggal kemahuan Sahri sahaja untuk berubah. Hal ini bolehlah diibaratkan seperti seseorang yang dahagakan air lalu meminta kepada Allah untuk diberikan air. Namun Allah tidak memberikan air kepadanya secara terus, akan tetapi Allah telah menyediakan air untuknya. Hanya tinggal dia untuk mencari dan berusaha mendapatkan air disediakan Allah kepadanya. Sahri masih lagi berada dalam kegelapan hasad yang memakan hatinya. Peristiwa dia lemas dan diselamatkan masih tidak dapat menginsafkannya. Namun, keadaan akan berubah apabila dia terdengar ketukan pintu bilik wadnya.

Bersambung pada hari jumaat insyaAllah... (gua ada exam la bro minggu ni!!)

No comments:

Post a Comment