Sunday, September 22, 2013

Adek =) Bab 6: Tekad

gambar sekadar hiasan...

Hari ini sudah cukup seminggu Sahri berada di luar negara. Perasaan rindu yang menebal menyebabkan Naqib mengambil keputusan untuk bertanya khabar kepada Sahri. Naqib tidak mempunyai telefon bimbit mahupun komputer di rumah. Jika ingin menggunakan talian telefon di rumah nescaya bil telefon rumahnya akan menaik. Justeru, Naqib merancang untuk ke pusat internet sahaja di pekan. Di sana nanti dia boleh menghantar emel kepada Sahri. Bayarannya pun berpatutan. Hanya RM3 untuk penggunaan selama sejam.

Apabila tiba di pusat internet tersebut, Naqib terlihat banyak anak muda yang ada di situ. Ada yang sedang bermain permainan video dan ada pula yang sedang menyelesaikan tugasan sekolah. Sebaik sahaja menghampiri kaunter pembayaran, Naqib bercadang untuk berada di situ selama 2 jam, justeru dia mengeluarkan wang sebanyak RM6 dan menyerahkan kepada penyelia pusat internet itu. Penyelia itu kemudian menyerahkan nombor komputer kepada Naqib. Nombor itu perlu diserahkan semula kepada penyelia itu sebaik sahaja Naqib selesai menggunakan komputer.

Walaupun bayaran yang dikenakan murah, tetapi itu tidak bermakna perkhidmatan yang ditawarkan tidak memuaskan. Komputer di situ semuanya kelihatan seperti baru dan kelajuan internetnya lebih kurang hebatnya juga. Sebaik sahaja membuka akaun emelnya, Naqib sedikit terkejut kerana di dalam peti simpanan melnya, terdapat satu emel yang dihantar daripada Sahri. Emel tersebut telah dihantar 2 hari yang lepas. Ternyata sahabatnya itu lebih pantas bertindak daripada dirinya. Naqib kemudian segera membuka emel tersebut dan membaca isi kandungannya.

Di dalam emel tersebut, Sahri menanyakan khabar Naqib dan keluarganya. Sahri menyatakan bahawa dia sudah menerima bungkusan yang dikirimkan melalui ibunya. Dia mengucapkan terima kasih dan berjanji akan menjaga jam dan kain pelikat yang diberikan oleh Naqib itu dengan sebaiknya. Kemudian dia memberitahu bahawa kelas telahpun bermula dan dia sudah selesai mendaftar kursus yang bakal di ambilnya. Sahri kini sedang menetap di sebuah apartment bersama-sama dengan seorang lagi pelajar Malaysia dan 2 orang pelajar Mesir. Sahri mengucapkan rasa syukur kerana dia tinggal bersama-sama orang yang mengaku Allah sebagai Rabbnya. Naqib mendapat tahu bahawa di sana Sahri sedang menikmati kehangatan musim panas. Sahri menambah bahawa tidak lama lagi musim luruh pula akan menjelma. Kemudian Sahri memberitahu Naqib bahawa dia juga harus cepat-cepat memikirkan soal masa depannya. Sahri menambah lagi bahawa menerima tawaran tok penghulu itu adalah jalan terakhir jika Naqib masih lagi tidak mendapat tawaran mana-mana universiti. 

Apa yang merisaukan Sahri apabila Naqib menerima tawaran daripada tok penghulu adalah barangkali kursus perubatan tidak sesuai dengan Naqib. Sahri menasihatkan Naqib agar membuat sedikit kaji selidik di internet atau surat khabar mengenai kursus-kursus yang mungkin diminati Naqib. Sahri memberitahu bahawa dia sentiasa mendoakan kejayaan Naqib walaupun jarak antara mereka sebanyak berbatu-batu jauhnya. Kemudian Sahri mengakhiri emelnya dengan mengirim salam kepada keluarga Naqib. 

Sebaik sahaja Naqib membaca satu persatu nukilan Sahri itu, dia akhirnya tersenyum puas. Kemudian Naqib mengklik pilihan untuk membalas emel Sahri tadi. Dia memberitahu bahawa keluarga dan dirinya semua berada dalam keadaan sihat sejahtera. Suasana di kampung sedikit sunyi sejak Sahri belajar di luar negara. Tambahan pula, semakin ramai rakan mereka yang sudah melanjutkan pelajaran di serata tempat. Naqib mengucapkan terima kasih kerana selama ini Sahri tidak putus-putus mendoakan untuknya. Naqib memberitahu bahawa dia bercadang untuk menyertai karnival pendidikan tinggi yang akan berlangsung di pekan hujung minggu ini. Dia berharap agar dia dapat menimba sedikit pengetahuan tentang tawaran-tawaran yang disediakan di seluruh institut pengajian tinggi. Naqib menyatakan bahawa dia mempunyai masa seminggu lagi sebelum dia perlu memberi jawapan kepada tok penghulu. Justeru itu, dia meminta agar Sahri berterusan mendoakan agar dia dapat membuat pilihan yang tepat untuk masa depannya. Naqib kemudian mengakhirkan emelnya dengan ucapan maju jaya kepada Sahri.

Sebaik sahaja Naqib mengklik pilihan untuk menghantar emel, penggunaan selama 2 jamnya telahpun tamat. Dia perlu menutup komputer dan menyerahkan semula nombor komputer kepada penyelia pusat tersebut. Naqib kemudian keluar daripada pusat internet tersebut dan terus menuju ke rumah. Semasa dalam perjalanan dia ada terlihat dewan serbaguna yang bakal berlangsungnya karnival pendidikan tinggi itu. Di hadapan dewan tersebut sudah terpampang poster mengenai acara itu. Naqib yakin bahawa dia akan mempelajari sesuatu daripada karnival itu. Lantas, peluang itu harus direbutinya. 

Naqib berasa terkejut kerana mendapati motosikal ayahnya sudah berada di hadapan rumahnya. Hal ini bermakna, ayahnya telah pulang awal pada hari itu. Naqib lantas segera masuk ke rumah untuk berjumpa dengan ayahnya. Dia harus segera berbincang mengenai tawaran tok penghulu kerana barangkali dia sudah tidak mempunyai peluang yang lain untuk berbincang dengan ayahnya selepas ini. Hasratnya terbantut lagi apabila sebaik sahaja dia naik ke dalam rumah, Naqib melihat ayahnya sedang tidur di sofa sambil kakinya diurut oleh ibunya. Ternyata ayahnya kepenatan setelah bertungkus-lumus bekerja di pekan. Dia mengambil keputusan untuk membiarkan sahaja ayahnya berehat dan akan berbincang dengan ayahnya pada malam nanti. 

Setelah itu, Naqib segera masuk ke dalam bilik untuk berehat. Panas tengah hari tadi masih lagi terasa bahangnya. Sebaik sahaja dia membaringkan tubuhnya ke atas katil, matanya segera tertutup. Ketika itu dia telahpun berada dalam alam separuh sedar. Dia sedang bermimpi seorang lelaki yang berpakaian putih menghampirinya. Wajah lelaki sungguh cerah hinggakan Naqib tidak dapat melihat dengan jelas wajah tersebut. 

"Adakah dia sudah bersedia?" Tanya orang yang berbaju putih itu. Kemudian datang pula seorang lagi lelaki berpakaian serba hitam dan wajahnya juga bercahaya terang.

"Belum. Dia masih ada sedikit waktu." Balas lelaki berbaju hitam itu pula. Kemudian lelaki berbaju putih itu memegang bahu Naqib. Saat itu Naqib tidak dapat berkata apa-apa. Dia hanya mampu melihat kejadian ajaib di hadapan matanya itu.

"Sabarlah wahai sahabatku. Sesungguhnya Allah sedang mengaturkan sesuatu untukmu. Teruskanlah berdoa kepada-Nya." Ujar lelaki berbaju putih itu dan kemudian kedua-dua mereka berjalan meninggalkan Naqib dan terus menghilangkan diri. Naqib masih tidak mempercayai apa yang dilihatnya ketika itu. Kepalanya berasa berat sama sekali dan rasa mahu mengeluarkan segala isi perutnya. Tetapi sebelum dia sempat meluahkan isi perutnya, dia telah tersedar daripada mimpinya. Bajunya sudah dibasahi peluh. Kaki dan tangannya berasa dingin sekali. Dia tidak tahu apakah maksud mimpi-mimpi tadi. Dia lantas segera menyalin baju dan terus ke bilik air untuk membersihkan diri dan berwudhuk. 

Setelah selesai mengambil wudhuk, adiknya Nisa pula menghampirinya. Nisa memberitahu bahawa pada padi tadi dia ada ternampak 2 buah lori menuju ke rumah kosong yang ditinggalkan keluarga Amin 5 tahun lepas. Nisa beranggapan bahawa kemungkinan besar ada orang yang telah membeli dan seterusnya akan menetap di dalam rumah tersebut. Nisa memberitahu bahawa dia juga ternampak sebuah kereta biru terpakir di hadapan rumah itu. Naqib kemudian teringat bahawa pada minggu lepas, ketika dia sedang pulang dari surau, ada sebuah kereta biru telah berhenti di sebelahnya dan pemilik kereta tersebut menanyakan arah rumah penghulu. Kemungkinan pemilik kereta pada malam itu adalah orang sama yang telah membeli rumah itu seperti yang diceritakan Nisa tadi.

Sebaik sahaja selesai solat isyak secara berjemaah di surau, Naqib dan ayahnya berjalan kaki pulang ke rumah. Dalam perjalanan itu, Naqib mengambil peluang untuk berbincang dengan ayahnya tentang perkara tertunda. Ayahnya hanya mendiamkan diri dan terus berjalan menuju ke rumah mereka. Naqib mengambil keputusan untuk tidak terus mendesak ayahnya kerana dia tahu bahawa ayahnya kemungkinan mempunyai banyak masalah di tempat kerja untuk difikirkan dan perbincangannya itu tadi akan menambahkan kerungsingan ayahnya sahaja. Sebaik sahaja tiba di pintu rumah, barulah ayahnya bersuara. Ayahnya memberitahu kepada Naqib bahawa dia menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada Naqib. Ayahnya menambah lagi, dia akan terus menyokongnya walau apapun keputusan yang akan dibuat nanti. Naqib berasa lega apabila akhirnya semua pendapat daripada ahli keluarganya telah didengarinya. Ayah dan ibunya telah merestui apa sahaja keputusan yang dipilihnya nanti. Nisa dan Sahri juga telah menyatakan perkara yang sama. 

Akhirnya hari yang ditunggu-tunggu telahpun tiba. Naqib keluar rumah agak awal pada hari itu. Dia tidak mahu ketinggalan sedikitpun. Ramai orang telah berkunjung ke dewan tersebut. Rata-ratanya mereka yang datang terdiri daripada pelajar sekolah menengah dan terdapat juga ibu bapa yang mungkin sedang merancang untuk anak mereka. Amat sedikit sekali pengunjung yang sebaya dengan Naqib. Boleh dibilang dengan jari sahaja. Hal ini berkemungkinan ramai rakannya yang telah melanjutkan pelajaran ke matrikulasi dan ada juga yang memasuki ke Tingkatan Enam. Naqib telah terlepas sesi pendaftaran untuk ke Tingkatan Enam menyebabkan dia pada hari ini masih lagi tidak melanjutkan pelajaran selepas tamatnya SPM.

Naqib kemudian melawat dari satu 'booth' ke satu 'booth' yang lain. Dia mendengar dengan teliti penerangan yang diberikan daripada wakil universiti yang terpilih. Setakat ini boleh dikatakan semua kursus yang ditawarkan telah menarik minatnya. Tetapi dia sedar bahawa dia harus memilih satu. Kemudian dia terlihat satu 'booth' yang agak lain daripada yang dia pernah kunjungi sebelum ini. Di situ ramai juga orang yang bertanyakan soalan kepada 2 orang wakil daripada universiti tersebut. Naqib kemudian melihat pamplet yang dia ambil di atas meja 'booth' itu. Pamplet itu menerangkan program yang sedang ditawarkan di universiti tersebut. Dia melihat senarai program yang ditawarkan dan kebanyakkannya kursus yang ditawarkan adalah kursus perniagaan dan kejuruteraan. Naqib sedikit hampa kerana kursus yang ditawarkan tidak menarik minatnya. Lantas dia tertunduk lalu bercadang untuk bergerak menuju 'booth' seterusnya.

Seorang wanita yang merupakan wakil daripada universiti tersebut ternampak kelibat Naqib yang seperti hampa. Wanita tersebut menyerahkan pengunjung yang selebihnya kepada rakannya manakala dia cuba menghampiri Naqib dan menanyakan perkara apa yang merungsingkan dia.

"Assalammualaikum. Tadi saya nampak saudara seperti kebingungan. Ada apa-apa soalan yang saudara hendak tanya mengenai program yang ditawarkan?" Tanya wakil wanita yang berpakaian korporat itu. Di lehernya tergantung kad pelajar miliknya. Terdapat gambar dan nama pemilik kad tersebut. Naqib yang terkejut apabila dia disapa oleh wanita tersebut sempat melihat nama wanita tersebut. Alia Binti Ruslan.

"Waalaikummussalam. Saya sebenarnya masih mencari program yang bersesuaian dengan diri saya. Setakat ini semua kursus yang saya dengar menarik minat saya. Jadi saya buntu untuk memilih yang betul-betul saya yakin saya boleh bawa." Ulas Naqib dengan jelas kepada wanita yang bernama Alia itu.

"Oh, boleh saya tahu adakah saudara pernah memohon untuk memasuki mana-mana universiti?" Tanya Alia setelah memahami masalah yang sedang dialami Naqib itu. Naqib hanya menggelengkan kepala tanda dia tidak pernah memohon mana-mana universiti pun sebelum ini.

"Saya rasa hari ini hari bertuah saudara kerana kami masih lagi mengambil permohonan secara terbuka." Alia mengkhabarkan berita baik kepada Naqib sambil tersenyum. Naqib kemudian tersenyum seketika tetapi kemudian senyumannya kembali hambar apabila dia baru tersedar bahawa kursus yang ditawarkan di universiti itu tidak ada satu pun yang menarik minatnya.

"Saya rasa saya tidak berminat dengan kursus yang ditawarkan seperti yang tertulis di dalam pamplet ini." Naqib memberitahu kepada Alia dengan jujur. Alia masih lagi tersenyum dan kemudian menyuruh Naqib untuk mengikutnya kembali ke 'booth' semula. Alia kemudian menyerahkan Naqib sebatang pen dan sehelai borang permohonan. Naqib yang agak keliru ketika itu menerima pen dan borang tersebut. Di wajah Naqib jelas dia memerlukan penjelasan daripada Alia. Alia yang menyedari mengenai hal itu terus menerangkan kepada Naqib apa yang patut dilakukannya.

"Begini, kami sebenarnya ditugaskan untuk calon-calon yang akan dihantar ke luar negara dalam bidang kejuruteraan dan perniagaan. Setakat ini tidak ada seorang pun calon lepasan SPM yang dapat kami jumpa. Saudaralah orang yang pertama. Permohonannya mudah sahaja. Saudara hanya perlu isi borang dan menghantar semua dokumen berkaitan yang telah disahkan melalui pos. Tambahan, permohonan ini tidak ada temuduga memandangkan masa yang semakin suntuk. Jika saudara berjaya, saudara akan ditelefon dan jika saudara bersetuju, surat tawaran akan dihantar kepada saudara." Ulas Alia dengan begitu terperinci agar Naqib benar-benar faham apa yang harus dilakukannya. Naqib masih lagi buntu dan merasakan Alia terlalu mendesak terhadapnya.

"Maafkan saya, saya rasa saya tidak layak untuk program tersebut kerana saya tidak berminat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perniagaan dan kejuruteraan." Terang Naqib sekali lagi kepada Alia dengan harapan pada kali ini Alia betul-betul memahami apa yang cuba disampaikan Naqib kepadanya.

"Tidak ada salahnya untuk saudara mencuba. Saya yakin mesti ada sekurang-kurangnya satu yang saudara minat. Jika tidak keberatan, boleh saya tahu keputusan SPM saudara? Saya mungkin dapat membantu saudara memilih kursus yang bersesuaian berdasarkan keputusan SPM saudara. Sekurangnya jika saudara tidak berminat dengan program yang kami tawarkan, saudara mungkin menyedari apa yang saudara inginkan." Ulas Alia dengan bersungguh-sungguh untuk menyakinkan Naqib. Naqib pada mulanya berasa seperti hendak berputus asa. Namun di dalam hatinya dia tidak mahu mengalah. Dia teringat dalam satu ayat Al-Quran Surah At-Talaq ayat 2 dan 3:

Dengan hukum-hukum yang tersebut diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

Oleh itu, Naqib menguatkan hatinya lalu memberitahu keputusan SPM nya itu kepada Alia. Naqib kemudian berdoa di dalam hati agar dia berjaya menemukan kursus yang baik dan sesuai dengan kemampuannya kerana dia masih lagi tidak berputus asa. Dia yakin bahawa dia akan mendapat mempelajari sesuatu yang bermakna di situ.

"Saudara sangat berkebolehan dalam bidang biologi, fizik dan matematik. Kimia dan bahasa Inggeris sahaja permasalahannya di sini. Baiklah saya rasa saya tahu bidang apa yang sesuai dengan saudara. Saya cadangkan saudara boleh memohon dalam bidang kejuruteraan. Kejuruteraan yang sesuai dengan saudara adalah kejuruteraan biomedikal. Kursus ini masih baru di Malaysia justeru tidak ada banyak kemudahan yang disediakan, tetapi saudara berkemungkinan besar akan dihantar terus ke Amerika Syarikat. Negara itu sedang memerlukan tenaga kerja dalam bidang tersebut." Ulas Alia setelah mengenal pasti bidang yang sesuai dengan Naqib. Dia berharap agar Naqib dapat mempertimbangkan cadangannya itu.

"Kejuruteraan biomedikal? Amerika Syarikat? Saya tidak tahu apa yang dikatakan biomedikal itu tetapi tidak salah untuk saya mencuba. Saya yakin mungkin kursus itu sahaja yang sesuai dengan saya berdasarkan apa yang saudari katakan tadi." Ujar Naqib sambil mengisi borang permohonan tadi. Alia yang melihat borang itu sedang diisi oleh Naqib seraya menarik nafas lega. Sekurangnya dia berjaya mencari seorang yang layak untuk program tersebut dan mereka tidak pulang dengan tangan kosong. Alia sedang menantikan bayaran yang akan diterimanya apabila berjaya memperoleh seorang calon untuk program di universitinya.

Setelah selesai mengisi borang dengan maklumat yang dikehendaki, Naqib segera menyerahkan borang tersebut kepada Alia. Alia kemudian mengucapkan terima kasih lalu memberikan Naqib satu pamplet yang berkaitan dengan program yang telah dia mohon. Naqib menerimanya dan mengucapkan terima kasih. Dia kemudian segera keluar daripada dewan tersebut kerana menyedari waktu zohor semakin hampir dan perutnya juga masih kosong. Sebaik sahaja keluar daripada dewan tersebut dia segera mengucapkan lafaz tahmid memuji Allah yang Maha Esa. Firasatnya benar bahawa dia akan mendapat sesuatu yang bernilai di situ. Jika dia tidak berjaya untuk memohon program tersebut, dia tidak akan bersedih dan tidak akan berputus asa kerana dia yakin Allah sedang merancang sesuatu yang lebih baik untuknya seperti apa yang dikatakan oleh lelaki yang berpakaian serba putih di dalam mimpinya tempoh hari.

Semasa dalam perjalanan, Naqib ternampak seorang perempuan sedang memeriksa basikalnya di tepi jalan. Perempuan tersebut kelihatan seperti dalam keadaan tergesa-gesa. Naqib cuba menghampiri perempuan tersebut untuk mengenal pasti masalah yang sedang dihadapinya. Setelah melihat dengan lebih dekat, barulah Naqib mengetahui apa masalah yang sedang dialami oleh perempuan tersebut. Rantai basikal miliknya telah terkeluar daripada rodanya. Perempuan itu sedang cuba membetulkan semula rantai basikalnya tetapi tidak berjaya. Naqib yang kasihan melihat perempuan tersebut cuba menghulurkan bantuan.

Naqib segera cuba membetulkan rantai basikal perempuan itu tanpa meminta kebenaran daripadanya. Perempuan itu terkejut dengan tindakan Naqib dan membiarkan sahaja dia membetulkan basikalnya. Perempuan itu hanya memerhati Naqib dari tadi kerana bimbang akan dirinya diperapa-apakan. Tambahan pula, di kawasan itu orang sedang ramai lalu-lalang. Jika dia diapa-apakan, dia hanya perlu menjerit meminta tolong. Perempuan itu kemudian menyedari bahawa Naqib benar-benar ikhlas mahu menolongnya berdasarkan kesungguhan dia untuk membetulkan rantai basikal itu setelah gagal beberapa kali.

Naqib kemudian meminta perempuan itu untuk memutarkan pedal basikalnya. Ketika itu perempuan itu tersedar daripada lamunannya dan mengikut sahaja arahan yang diberikan Naqib. Saat itu juga, Naqib terlihat wajah perempuan itu. Masa seakan berhenti sebentar. Kemudian kedua-dua mata mereka bertembung. Saat itu, keduanya seakan-akan telah berada di dalam dimensi yang lain. Tangan perempuan itu memutar-mutarkan pedal basikal itu tanpa menyedari apa yang sedang dia lakukan ketika itu. Manakala tangan Naqib pula masih lagi memegang rantai basikal itu. Kemudian cecair merah mula mengalir di bawah basikal itu menyebabkan kedua-duanya berhenti daripada terus leka.

Naqib kemudian tiba di rumahnya dengan tangan berbalut. Ibunya yang menyedari akan hal itu terus menanyakan Naqib apa yang berlaku. Adakah Naqib telah terlibat dalam satu kemalangan atau dia telah dirompak oleh pencuri ketika dalam perjalanan pulang ke rumah? Naqib cuba menenangkan ibunya dan menceritakan apa yang sedang berlaku kepadanya sebentar tadi. Setelah mendengar penjelasan daripada Naqib, ibunya segera menghembuskan nafas lega dan terus duduk di atas kerusi di dapur. Ibunya menasihatkannya agar lebih berhati-hati lain kali. Naqib mengangguk sambil tersenyum lalu segera masuk ke dalam biliknya. Pada hari itu, giliran Nisa pula untuk membeli barang di kedai runcit berdekatan dengan rumahnya. Naqib berasa lega kerana jika adiknya ada ketika itu, maka lagi banyaklah soalan yang diajukan kepadanya. Adiknya itu sudah seperti seorang wartawan lagaknya. 

Selesai makan tengah hari dan bersolat zohor, Naqib kemudian membaringkan tubuhnya ke atas katil dan memandang ke syiling biliknya. Kejadian tengah hari tadi masih terbayang-bayang di mindanya. Dia tidak sempat untuk mengetahui nama perempuan tersebut dan dari manakah dia datang. Dia yakin bahawa perempuan tersebut bukan berasal daripada kampung ini kerana dia sudah kenal dengan semua penduduk di situ. Dia berjaya membetulkan rantai basikal milik perempuan itu, tetapi pada masa yang sama, tangannya berbalut akibat kecuaiannya sendiri. Perempuan itu ada meminta untuk membawanya ke klinik untuk menerima rawatan tetapi Naqib menolak permintaan perempuan itu dan menyatakan bahawa kecederaan itu kecil sahaja. Semua orang tahu kecederaan tangannya itu serius. Perempuan itu pun meminta diri untuk pulang setelah didesak oleh Naqib. Naqib percaya bahawa perempuan itu pun sangat risau dengan kecederaan yang dialaminya. Sebaik sahaja kelibat perempuan itu menghilang, Naqib kemudian terasa sedikit pening-pening dan rasa hendak pitam. Orang disekeliling menolongnya untuk ke klinik yang berhampiran. Dari situlah tangannya menerima 3 jahitan dan balutan. Doktor menasihatkannya untuk tidak melengahkan menerima rawatan tambahan pula dalam keadaan panas terik itu menambahkan kesulitan yang dialami. Naqib kemungkinan akan mengalami dehidrasi.

Naqib kemudian mengambil keputusan untuk melupakan mengenai perkara itu sebentar dan mengalih fokusnya terhadap pamplet yang diterimanya daripada Alia. Dia cuba memahami apakah yang dikatakan kejuruteraan biomedikal oleh Alia tadi. Setelah membaca penerangan ringkas di dalam pamplet itu barulah dia faham. Kejuruteraan biomedikal itu adalah satu aplikasi prinsip kejuruteraan dan konsep reka bentuk dalam bidang perubatan dan biologi untuk kegunaan penjagaan kesihatan. Dia mula tertarik sepenuhnya dengan bidang yang bakal diceburinya itu. Naqib mula menaruh harapan besar terhadap permohonannya tadi dan berharap agar Allah mendengar permintaannya itu. Mata Naqib kemudian terasa berat lalu dia tertidur kepenatan di atas katil.

Seminggu telah berlalu, pada hari ini tok penghulu telahpun berada di ruang tamu bersama-sama dengan Kesuma. Hari itu, mahu atau tidak, Naqib harus memberitahu jawapannya kepada tok penghulu sama ada dia mahu menerima tawaran itu atau menolaknya. Dia sudah tekad dengan keputusannya. Saat ketika itu sangat sukar bagi Naqib untuk meluahkan hasratnya. Kepalanya mula berasa pening. Entah mengapa sejak kebelakangan ini dia sering mengalami sakit kepala. Barangkali apa yang diberitahu doktor itu benar. Dia tidak seharusnya berada lama di bawah panas terik matahari pada tengah hari yang lepas. Kesuma mula untuk bersuara menyakinkan Naqib tetapi niatnya terhalang apabila Nisa masuk ke ruang tamu untuk menghidangkan minuman dan badan Nisa yang agak besar itu telah melindungi wajah Kesuma. Kesuma hanya mengjeling sahaja ke arah Nisa. Nisa yang menyedari akan hal itu sengaja melambat-lambatkan hidangan minumannya. Sebaik sahaja Nisa selesai menghidangkan minuman, Kesuma menanyakan Naqib mengenai tangannya yang masih berbalut. Naqib tidak menjawab kerana kepalanya berasa pening dan pertanyaan Kesuma itu tidak jelas didengarnya. Ayah Naqib yang menyedari Kesuma sedang menanti jawapan daripada Naqib, terus memberitahu Kesuma bahawa Naqib telah mengalami kemalangan pada minggu lepas. Setelah mendengar penjelasan daripada ayah Naqib barulah Kesuma berasa lega. 

Dalam hati Kesuma, dia masih lagi tidak berpuas hati kerana Naqib tidak menjawab pertanyaannya malah Naqib memberi reaksi sepeti tidak berminat untuk berbicara dengannya walhal dia tidak tahu bahawa Naqib sedang mengalami sakit kepala yang serius ketika itu. Tok penghulu kemudian mula menanyakan tentang keputusan Naqib untuk menyambung pelajaran dalam bidang perubatan di Jordan. Ayah Naqib pada ketika itu juga cuba menanyakan Naqib tentang perkara yang sama. Naqib hanya berdiam diri dan melihat kedua-dua wajah tok penghulu dan ayahnya. Sebaik sahaja dia hendak bersuara, tiba-tiba terdengar deringan telefon rumah yang kuat. Perbualan mereka terhenti seketika. Ayah Naqib menyuruh Nisa untuk menjawab panggilan telefon tersebut.

Ketika Nisa masih lagi sedang menjawab panggilan telefon itu, ayah Naqib mencadangkan agar perbincangan mereka diteruskan. Dia kemudian menyuruh Naqib menyatakan jawapannya. Kesuma mula berasa cemas dengan situasi yang sedang dialaminya ketika itu. Dia takut jika Naqib tidak mahu menerima tawaran tersebut. Suasana ketika itu sangat tegang. Naqib pula masih lagi tidak memberi sebarang respon. Sikapnya menyebabkan kesabaran tok penghulu dan Kesuma teruji. Dalam hati tok penghulu menyatakan jika Naqib tidak mahu maka katakan tidak mahu, hal itu lebih mudah dan mereka pun tidak perlu berpanas dengan lebih lama dalam rumah itu. Ketika Naqib mula untuk menyuarakan keputusannya, tiba-tiba Nisa menjerit memanggil ayahnya.

bersambung...







No comments:

Post a Comment